“SEKIRANYA budaya Jawi peranakan tidak dilestarikan, nescaya ia akan tenggelam bersama-sama dengan arus pemodenan,” tutur wanita berselendang coklat air itu sambil membelek buku warisan keluarganya.
Buku yang mengandungi salasilah keluarganya serta gambar-gambar lama mereka itu didokumentasikan untuk simpanan peribadi dan tatapan keturunannya satu hari nanti.
Seperti golongan peranakan lain, Jawi peranakan merupakan susur galur hasil perkahwinan campuran pedagang lelaki asing dan wanita Nusantara pada abad ke-15 hingga ke-19.
Namun perbezaan ‘Jawi peranakan’ dengan peranakan lain adalah mereka berketurunan pedagang dari India, Iran, Arab, Turkiye, Afghanistan dan Pakistan yang beragama Islam.
Hal tersebut menyebabkan mereka turut dikategorikan sebagai ‘Melayu’ dalam takrifan Perlembagaan Persekutuan Malaysia yang berakar umbi daripada dasar pentadbiran kolonial British.
Menurut wanita itu, Datin Dr. Shameem Abdul Jalil, perkara tersebut menyebabkan mereka semakin lama semakin berasimilasi secara total dengan masyarakat Melayu umum.
“Pada waktu saya kecil dahulu, kami masih mengadakan sambutan ketika seorang gadis mendapat haid pertama seperti diamalkan masyarakat India umum.
“Namun, elemen agama Hindu telah dikeluarkan, manakala digantikan dengan elemen-elemen yang bertepatan dengan prinsip syariat Islam.
“Bersempena sambutan tersebut, saya perlu makan cecair campuran telur kuning mentah, madu dengan minyak lenga selama 10 hari,” katanya kepada K2 ketika ditemui di restoran La Achee Porra di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Shameem yang merupakan Ketua Pegawai Eksekutif sebuah firma perunding tersebut memiliki keturunan Turkiye-Melayu pada sebelah ibu dan berketurunan India Muslim-Melayu pada sebelah bapa.
Mengikut sejarah, pembentukan awal Jawi peranakan bermula dengan proses perkahwinan campur antara lelaki India Islam dengan wanita Melayu tempatan daripada kalangan anak raja Melayu dan anak pembesar negeri.
Pada ketika itu, kebanyakan lelaki India Islam yang berhijrah ke Nusantara terdiri daripada saudagar yang kaya dan berkedudukan sekali gus memudahkan mereka menikahi anak raja.
Keadaan tersebut wujud sekian lama di gugusan pulau Melayu dan di Tanah Melayu iaitu di Kedah, Melaka, Perak dan Johor.
Perubahan mula berlaku di Pulau Pinang apabila perkahwinan campur telah mula berkembang dalam kalangan rakyat biasa dan melibatkan pedagang Islam dari negara-negara lain.
Keturunan mereka masih boleh dikesan menerusi nama yang diwarisi seperti Syed (Arab), Merican (India), Begum (Punjabi) dan Khan (Pakistan).
Kongsi Shameem yang juga merupakan adik kepada ahli politik, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil lagi, kebanyakan komuniti Jawi peranakan memiliki kedudukan status sosial yang tinggi.
Bahkan, Mak Tok (nenek) mereka yang mesra dipanggil Che Mah Moden terkenal di Pulau Pinang sebagai tokoh modenisasi wanita.
“Kepelbagaian latar belakang peranakan Jawi membuatkan moyang kami mudah bergaul sekali gus diberi peluang memegang jawatan dalam pentadbiran kolonial.
“Selain itu, mereka juga dihormati sebagai cendekiawan Islam, ulama atau guru agama dalam kalangan bangsawan dan masyarakat tempatan,” katanya.
Untuk rekod, Perdana Menteri Malaysia ke-4 dan ke-7, Tun Dr. Mahathir Mohamad merupakan keturunan Jawi peranakan menerusi bapanya yang merupakan India Muslim-Melayu sementara ibunya wanita Kedah.
Selain itu, beberapa tokoh penting yang memiliki darah keturunan Jawi peranakan dari Arab adalah Syed Muhammad Naquib al-Attas, Syed Mokhtar Al-Bukhary dan Syed Hussein Alatas.
Datuk Haji Mohamed Abdul Latif Habib yang mengasaskan Habib Jewels pada tahun 1958 turut berketurunan Arab Hadhrami-Jawi peranakan.
Dalam pada itu, pemilik restoran La Achee Porra, Mohd. Rizal Abu Bakar mahu melestarikan komuniti tersebut menerusi masakan warisan mereka.
Lelaki berusia 52 tahun tersebut mempelajari memasak daripada arwah ibunya, Halimah Bee Bye Haniffah yang memiliki darah peranakan berketurunan India Muslim-Melayu.
Masakan peranakan Jawi tidak menggunakan santan dan kurang menggunakan rempah ratus dalam juadah mereka termasuk masak kurma, daging masak hitam dan kari.
Katanya, komuniti Jawi peranakan menggalakkan anak lelaki untuk belajar memasak kerana mereka perlu melakukan hal tersebut sekiranya terdapat majlis di masjid atau surau.
“Dalam ajaran Islam, lelaki wajib mengimarah masjid dan surau, manakala wanita lebih afdhal bersembahyang di rumah kecuali sekiranya ada majlis ilmu.
“Oleh itu, lelaki bertanggungjawab dalam penyediaan makanan di masjid terutama semasa acara orang ramai seperti kenduri-kendara dan majlis buka puasa,” katanya.

Bekas perunding perkahwinan tersebut berkata, moyang sebelah ibunya dahulu merupakan usahawan perkhidmatan tongkang di Dermaga Swettenham, George Town, Pulau Pinang.
Moyangnya menyewakan tongkang-tongkang kepada kapal-kapal besar untuk membawakan barangan dari kapal tersebut ke platform pelabuhan.
Pada ketika itu, mereka memiliki rumah agam dengan seni bina yang menggabungkan pengaruh Melayu, India dan Asia Barat, namun kini tiada lagi.
Ujarnya, struktur keluarga moden kini lebih kecil menyebabkan rumah besar tidak lagi diperlukan terutama dengan kos penyelenggaraan yang mahal.
“Rumah agam Jawi peranakan menempatkan keluarga besar, termasuk datuk nenek, ibu bapa, anak-anak dan saudara-mara lain.
“Tetapi kini, perubahan arus moden menyebabkan ia dijual kepada pihak ketiga dan hasilnya dipecahkan mengikut hak waris,” ujarnya menutup bicara.














