KECEDERAAN hamstring Bukayo Saka ketika ini dianggap hadir pada masa paling sesuai berbanding tempoh yang lebih getir buat Arsenal pada Februari atau Mac nanti.
Sebenarnya, mungkin tidak ramai peminat bola sepak dunia sedar Saka sudah bermain hampir 25,000 minit permainan di peringkat senior dalam semua kejohanan bersama Arsenal ketika baru berusia 23 tahun.
Ia termasuklah 2,960 minit dalam 43 aksi antarbangsa bersama England yang menyaksikan dia berjaya meraih dua gelaran naib juara Kejohanan Euro selain turut memainkan watak penting pada kempen Piala Dunia Qatar 2022.
Tanpa sedar, sejak membuat debut senior pada 29 November 2018, Saka sudah bermain 250 perlawanan dalam semua kejohanan di peringkat kelab sehingga menghasilkan 67 gol dan 63 bantuan jaringan.
Menariknya, Saka berada di kedudukan kedua dalam senarai pemain usia 24 tahun dengan minit permainan terbanyak di belakang Eden Hazard yang bermain 26,649 minit ketika bersama Lille OSC dan Chelsea.
Dalam senarai itu juga menyaksikan Dele Alli di tempat ketiga dengan 24,591 minit diikuti Neymar (24,316), Wayne Rooney (23,943), Cristiano Ronaldo (23,681), Raheem Sterling (23,121), Michael Owen (22,294), Ryan Giggs (21,280), Marcus Rashford (21,082) dan Lionel Messi (20,226).
Jadi, sudah tiba masanya pemain sayap lincah kanan Arsenal itu diberikan ‘nafas’ untuk berehat buat sementara waktu biarpun berpotensi terlepas sekurang-kurangnya 15 perlawanan semua kejohanan dalam tempoh lebih dua bulan sepanjang menjalani proses pemulihan.
Dalam tempoh itu, Saka yang memulakan karier sebagai pemain pertahanan kiri, dijangka terlepas 10 perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) termasuk kemenangan 1-0 ke atas Ipswich Town di Stadium Emirates pada Sabtu lalu.
Ini juga kali pertama Saka terpaksa diketepikan begitu lama kerana dia hanya terlepas lima perlawanan EPL dalam kariernya disebabkan kecederaan sejak musim 2018/2019.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta perlu mencari jalan untuk menang tanpa Saka termasuklah separuh akhir Piala Liga Inggeris menentang Newcastle United pada 8 Januari dan pusingan ketiga Piala FA bertemu musuh tradisi, Manchester United empat hari kemudian.
Ia terpulang sama ada Arteta membeli muka baharu atau mendapatkan pemain secara pinjaman buat sementara waktu bagi menampung ketiadaan Saka pada jendela perpindahan yang kembali dibuka 1 Januari ini.
Pengendali dari Sepanyol itu mungkin mengalihkan pemain kesayangannya, Gabriel Martinelli dari sayap kiri ke kanan atau pun menaruh kepercayaan kepada penyerang, Gabriel Jesus beraksi di posisi itu.
Apa pun kecederaan Saka secara tidak langsung menjejaskan perancangan Arteta yang pada awalnya dikatakan bersedia ‘memecah tabung’ membeli penyerang yang mampu meledak lebih 20 gol semusim seperti disebut-sebut Alexander Isak (Newcastle), Dusan Vlahovic (Juventus), Benjamin Sesko (RB Leipzig) atau penggempur Sporting Lisbon, Viktor Gyokeres.
Jika Arsenal tidak belajar daripada kehilangan lapan mata dalam tujuh perlawanan EPL musim ini tanpa kelibat kapten yang juga perancang utama Martin Odegaard kerana cedera buku lali, situasi sama dilihat mampu berulang.
Ia sekali gus boleh meragut impian Arsenal untuk menamatkan kemarau 20 tahun menjuarai EPL sejak kali terakhir bergelar Invincibles pada 2004 atau pun sekali lagi mengharungi musim tanpa sebarang trofi.














