fbpx
Ada anak muda masih mempercayai bomoh bagi mengubati penyakit kerana mengikut jejak yang dilakukan oleh ibu bapa mereka. – Gambar hiasan

Demam, batuk pun jumpa bomoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Golongan muda zaman sekarang masih mempercayai rawatan bomoh untuk sakit ter­tentu kerana perkara itu ‘direstui’ oleh ibu bapa mereka yang mempercayainya sejak sekian lama.

Kata seorang wanita dikenali sebagai Nurul Asyikin, 36, dia telah mendapatkan rawatan de­ngan bomoh sejak kecil lagi ke­rana keluarganya mempercayai kaedah rawatan digunakan pe­rawat tidak bertauliah itu.

Katanya, adik-beradiknya seramai tiga orang juga sering dibawa ibu bapa mereka untuk bertemu dengan seorang bomoh wanita yang menetap di sebuah kampung di Kuala Kangsar untuk berubat.

“Saya sudah ke sana sejak sekian lama sehinggalah baru-baru ini apabila datang keberanian untuk berhenti menggunakan khidmat bomoh berkenaan.

“Sebelum ini kami menggunakan khidmat bomoh itu untuk mengubati segala jenis penyakit dari demam, selsema dan batuk.

“Saya tak tahu secara terperinci kaedah rawatannya, yang saya tahu dia hanya membaca sesuatu yang bunyinya seakan-akan ayat al-Quran dan menghembuskan­nya ke sebotol air,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Nurul Asyikin, air berkenaan kemudiannya diminum dia atau adik-beradik­nya yang sakit di rumah bomoh ­berkenaan dan selebihnya diminta untuk dibawa pulang dan minum di kediamannya mereka sendiri.

Ujarnya yang bekerja sebagai penjawat awam di sini, bayaran terhadap bomoh itu pula tidak menentu, iaitu antara RM50 hingga RM150.

Sementara itu, seorang belia yang menggunakan khidmat bomoh dikenali sebagai Shamsul, 28, berkata, dia juga pernah dibawa keluarganya untuk mendapatkan khidmat bomoh di Bota.

Katanya, ia bagi mengubati tekanan perasaan yang dihadapi­nya kira-kira tiga tahun lalu akibat putus tunang.

“Semasa itu saya dibawa ibu ditemani saudara-mara kami yang turut mempercayai khid­mat bomoh tersebut kerana mereka telah menggunakan perkhidmatannya sejak kecil lagi.

“Yang pasti keluarga saya membayar kos perkhidmatan yang tinggi iaitu sekitar RM500 beserta ‘pengeras’. Tak pasti apa ‘pengeras’ itu, mungkin ayam atau daging sesuatu serta pulut kuning,” katanya.

Ujarnya, antara perkara dilakukan bomoh itu bagi ‘me­rawatnya’ ialah membacakan suatu di belakang kepalanya dan menghembusnya di sekeliling kepala.

Kemudian, katanya, diminta untuk berendam air rebusan herba di rumah bomoh berkenaan sebelum diminta untuk minum air yang dibacakan sesuatu.

“Selepas giliran saya, masih ada beberapa orang yang mahu menggunakan khidmatnya dan rata-rata yang saya nampak mereka golongan muda yang usianya 20-an dan 30-an dengan pelbagai sakit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN