fbpx
Setiap haiwan di Zoo Taiping & Night Safari di Taiping mempunyai jadual makan tersendiri dan kualiti makanan yang dihantar diperiksa sebaik sahaja diterima daripada pembekal.

Kawalan ketat kualiti makanan haiwan zoo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Penjagaan haiwan di sesebuah pusat perlindungan dan konservasi bukanlah suatu tugas mudah untuk dilaksanakan.

Begitu banyak aspek yang perlu diambil kira, baik dari sudut pentadbiran zoo berkenaan sehinggalah amalan penjagaan haiwan-haiwan di sana.

Situasi sama turut dihadapi Zoo Taiping & Night Safari di Perak apabila begitu banyak cabaran perlu dilalui oleh kakitangannya dalam aspek penjagaan haiwan.

Penolong Pegawai Hidupan Liar Zoo Taiping, Mazwin Marjan berkata, satu daripada cabaran yang dihadapi oleh mereka adalah berkaitan pemakanan haiwan di zoo berkenaan.Mazwin berkata, proses perolehan makanan di fasiliti tersebut adalah berdasarkan diet haiwan berkenaan.

Katanya, pihak veterinar akan menentukan pengolahan dari segi jenis pemakanan agar ia bersesuaian dengan suatu spesies haiwan apabila ia berada di dalam zoo.

“Perolehan makanan juga adalah mengikut ketersediaan bahan makanan yang dikehendaki itu. Sekiranya ada haiwan yang kita ambil dari zoo lain, kita akan tukarkan dietnya.

“Perubahan diet itu kita akan laksanakan secara berperingkat-peringkat. Contohnya capybara, apabila di Eropah, pihak zoo mungkin berhadapan kesukaran untuk memperoleh bahan makanan segar, jadi mereka akan beri makan dalam bentuk pelet atau atau buah-buahan bermusim di sana.

“Bagaimanapun, apabila haiwan itu dibawa ke sini, kita akan tukar dietnya secara perlahan-lahan. Kita akan beri makanan seperti kangkung, rumput dan lobak yang bersesuaian dengannya,” katanya.

Anggaran makanan yang diperlukan bagi kesemua haiwan di Zoo Taiping & Night Safari, Perak dalam sehari secara puratanya adalah tiga tan.

Mazwin berkata, tempoh adaptasi terhadap diet baharu pula bergantung kepada jenis haiwan tersebut dan kebiasaannya mengambil masa selama dua minggu.

Begitupun, faktor individu turut memainkan peranan kerana biarpun haiwan itu daripada sama spesies, tempoh adaptasi terhadap diet baharu adalah berbeza.

Pada masa sama, katanya, perolehan makanan di Zoo Taiping & Night Safari adalah melalui proses tender terbuka kerana kosnya melebihi RM500,000 setahun.

“Apabila pihak berminat telah hantar dokumen, tender itu akan melalui beberapa penilaian seperti teknikal dan harga. Di peringkat penilaian harga, sekiranya ia relevan dengan pasaran sekarang, kita akan pilihnya.

“Kita juga kena tahu sejarah syarikat itu. Untuk tahun ini hingga 2026, kita ada tiga pembekal bagi 150 item berbeza dengan kos tahunan bagi perolehan makanan adalah kira-kira RM3.3 juta,” katanya.

Mazwin berkata, jumlah makanan diperoleh turut bergantung kepada hari kerana pihaknya perlu melihat diet haiwan terlebih dahulu, dengan jenis makanan dibekalkan kepada mereka adalah seperti ikan, ayam, kambing, pelet, tulang, rumput kering, sayur-sayuran dan buah-buahan.

“Contohnya orang utan, mungkin hari Isnin makanannya epal tetapi Selasa buah oren mengikut diet ditetapkan, manakala kalau ular pula mengikut spesiesnya secara purata dua kali sebulan. Anggaran makanan diperlukan bagi kesemua haiwan di zoo dalam sehari secara puratanya adalah tiga tan ataupun 3,000 kilogram (kg) makanan,” katanya.

SETIAP haiwan di Zoo Taiping mempunyai diet pemakanan tersendiri mengikut keperluan masing-masing.

Menurut Mazwin, kualiti makanan yang dihantar diperiksa sebaik sahaja diterima daripada pembekal dengan pemeriksaan dilaksanakan oleh pegawai penerima dan pegawai pemeriksa.

“Mereka akan periksa sama ada makanan dihantar itu mengikut spesifikasi seperti kesegarannya dan waktu ia sepatutnya dihantar iaitu 8 hingga 10 pagi dan 2 hingga 4 petang,” katanya.

Terangnya, waktu haiwan diberi makanan pula bergantung kepada spesiesnya yang mana ia boleh bermula seawal 8, 10 atau 11 pagi.

“Kita juga mahu pelawat yang mengunjungi Zoo Taiping berpeluang untuk melihat haiwan-haiwan ini diberi makan oleh penjaga zoo,” katanya yang turut memberitahu pihaknya turut menerima sumbangan makanan daripada pihak seperti Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

Dalam pada itu, menurut Pengarah Zoo Taiping, Dr. Muhamad Ridhwan Affendi, seramai 76 kakitangan bertanggungjawab melicinkan operasi Zoo Taiping & Night Safari yang menempatkan sekitar 130 spesies haiwan.

Katanya, daripada jumlah tersebut, seramai 51 penjaga zoo bekerja di lapangan bagi memastikan Zoo Taiping yang dibuka pada pukul 8.30 pagi hingga 6 petang dan Night Safari (8 hingga 11 malam) beroperasi dengan sempurna.

“Setiap penjaga zoo diwajibkan untuk menghadiri kursus khas Persatuan Taman Zoologi dan Aquaria Malaysia (MAZPA) selama 10 hari yang memberi pendedahan kepada mereka mengenai tugas-tugas dipikul.

“Ia termasuk mendalami ilmu dalam disiplin zoologi seperti penjagaan haiwan yang merangkumi diet serta cara menjaga hidupan liar seperti ular, buaya mahupun unggas,” katanya.

Ujar beliau, adalah penting bagi haiwan-haiwan tersebut diberi makanan berkualiti kerana memastikan ia tidak berhadapan dengan masalah seperti kesukaran membiak atau membesar, selain masalah tulang dan warna tubuh.

Menurut Muhamad Ridhwan, amalan perolehan makanan haiwan di Zoo Taiping & Night Safari juga adalah mematuhi ISO 9001:2015 Sistem Pengurusan Kualiti Untuk Bekalan Makanan dan ISO 37001:2016 Sistem Pengurusan Antirasuah oleh Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN