MANCHESTER – Penyandang gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester City berdepan risiko kemungkinan tidak layak beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) musim depan ekoran prestasi merudum dipameran ketika ini.
Skuad kendalian Pep Guardiola itu berusaha untuk layak ke saingan berprestij pentas Eropah tersebut buat kali ke-15 berturut-turut, namun mereka hanya meraih satu kemenangan dalam lapan perlawanan terakhir di England dan ketinggalan 12 mata di belakang pendahulu, Liverpool.
City yang berada di kedudukan ketujuh saingan EPL juga ketika ini ketinggalan enam mata di belakang Nottingham Forest yang berada di tangga keempat yang merupakan slot terakhir automatik ke saingan berkenaan.
“Ketika saya bercakap mengenainya sebelum ini, ramai yang memperlekehkannya. Mereka berkata layak ke UCL bukanlah kejayaan besar, tetapi di EPL ia menjadi berita besar jika pasukan seperti City gagal untuk beraksi di sana.
“Kami cukup dominan dalam saingan UCL untuk tempoh yang agak lama, namun ketika ini kami sedang berdepan kemungkinan tidak bermain pada kejohanan itu musim depan,” kata Guardiola.
Mengulas mengenai situasi sukar melanda City, Guardiola mengakui mereka menghadapi isu kecederaan dan kecergasan yang paling rumit sejak lapan tahun lalu dan hanya mampu menurunkan tiga pemain senior di bangku simpanan ketika terikat 1-1 menentang Everton.
“Kami perlu mendapatkan pemain baharu. Kami berdepan kesukaran di bahagian pertahanan dan tengah, jadi kami tidak ada pilihan. Jendela perpindahan musim sejuk tidak mudah, tetapi kami perlu melakukan sesuatu,” jelasnya. – AGENSI