fbpx
Kerana tidak mahu dianggap ibunya sebagai anak derhaka, Yana mengikut kehendak ibunya supaya berkahwin dengan lelaki pilihan ibunya yang akhirnya terbongkar seorang penagih dadah. – Gambar hiasan

K2

‘Harga’ ikatan perkahwinan atas dasar enggan derhaka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

DEMI menjaga hati ibunya, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Yana terpaksa menerima lamaran seorang lelaki yang langsung dia tidak kenali sebelum ini.

Menurutnya, lelaki itu adalah anak kepada rakan lama ibunya dan mereka kembali berhubungan setelah bertemu kembali di media sosial.

“Lelaki ini adalah pilihan ibu saya, dia mahu saya menerima lamaran tersebut dan berkahwin dengannya.

“Pada mulanya saya ingin menolak lamaran tersebut kerana telah mempunyai teman lelaki, tetapi ibu memaksa saya untuk berkahwin dengan lelaki tersebut,” katanya yang kini berusia hujung 20-an.

Disebabkan hal itu, Yana bergaduh dengan ibunya dan dia tidak suka masa hadapannya ditentukan oleh orang lain.

Namun, dia terpaksa mengalah setelah ibunya mengatakan bahawa Yana menjadi anak derhaka jika tidak dengar cakapnya.

Dengan hati yang terpaksa dia harus menerima lamaran tersebut dan menerima lelaki itu sebagai suaminya.

Yana mengakui dia tidak diberi masa untuk mengenali hati budi lelaki tersebut terlebih dahulu.

Tiga bulan setelah dia terpaksa menerima lamaran tersebut mereka berdua melangsungkan perkahwinan.

“Saya rasa amat bersalah dengan teman lelaki saya kerana memungkiri janji untuk sehidup semati dengannya.

“Tetapi untuk tidak menjadi anak yang derhaka saya harus mengikuti kehendak ibu,” jelas Yana.

Sepanjang perkahwinan, Yana mengakui dia langsung tidak bahagia.

Malah, suaminya juga tidak menunjukkan usaha untuk mengambil hatinya dan sering menghabiskan masa di rumah dengan bermain game dan selalu menghabiskan masa bersama rakan-rakannya berbanding dirinya.

Selain itu, sepanjang perkahwinan, dia juga melihat suaminya sering menghabiskan masa di dalam sebuah bilik kosong di rumah mereka. Malah. suaminya juga tidak benarkan Yana masuk mengganggunya di bilik tersebut.

Namun, semua sisi gelap suaminya akhirnya terbongkar apabila Yana masuk ke bilik tersebut ketika suaminya keluar bekerja.

“Di dalam bilik itu saya terjumpa dengan alatan untuk menghisap dadah.

“Saya tidak menyangka bahawa suami saya boleh terjebak dengan masalah penagihan dadah,” jelasnya.

Kemudian, Yana menunjukkan apa yang dijumpainya kepada suaminya. Dia naik angin dan menampar Yana kerana menganggu barangnya.

Yana berkata, ketika marah, suaminya telah berterus terang kepadanya bahawa dia memang mengambil barang terlarang itu untuk menghilang tekanan.

“Suami saya menyatakan bahawa dia tertekan dengan keluarganya sejak kecil yang sering membuat keputusan untuk dirinya termasuklah keputusan untuk berkahwin dengan saya. Dia juga dipaksa keluarganya untuk berkahwin dengan saya kerana mereka risau melihatnya telah berusia tetapi belum berkahwin.

“Suami menyatakan dia sebenarnya lebih suka hidup bersendirian tetapi keluarganya yang memaksanya untuk berkahwin,” ujar Yana.

Malah, suaminya mengakui bahawa dia telah terjebak dengan penagihan dadah itu telah lama. Keluarganya juga mengetahui bahawa dia terjebak masalah itu dan mereka pernah menghantarnya ke pusat pemulihan. Namun, suaminya mengakui sukar untuk meninggalkan tabiat itu dan dia kembali mengambil ‘barang’ setelah keluar dari pusat pemulihan.

“Suami saya juga mengetahui saya juga terpaksa berkahwin dengannya disebabkan pilihan keluarga.

“Dia menyatakan bahawa sedia melepaskan saya dan dia tidak mahu saya terus hidup dengannya dan terjebak dengan masalah itu demi kebaikan saya,” ujar Yana.

Yana dan suaminya kemudian mengambil keputusan untuk berpisah dengan memberi alasan kepada keluarga masing-masing bahawa mereka tidak mempunyai persefahaman dan sering bergaduh antara satu sama lain.

Mereka berdua kemudian sah berpisah di sebuah Mahkamah Syariah di sebuah negeri di utara Semenanjung.

Yana berkata, setelah mengetahui mereka berdua berpisah, ibunya amat marah kepada dirinya.

“Ibu saya mengatakan dia malu dengan keluarga suami saya dan dia tuduh saya yang minta untuk berpisah.

“Pada mulanya saya tidak mahu menceritakan hal sebenar, apabila dituduh sedemikian rupa saya menceritakan segala-galanya kepada keluarga saya tentang masalah yang sebenarnya,” ujarnya.

Tambahnya, ahli keluarga lain menyokong tindakan Yana memilih untuk berpisah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN