BERBAKI lima hari lagi, calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2024 akan menduduki peperiksaan bertulis.
Sebelum ini calon menduduki Ujian Bertutur dan Ujian Amali Sains, kini tiba masanya mereka meneruskan peperiksaan bertulis yang bermula pada 2 Januari ini.
Debaran kian dirasai bukan sahaja pelajar, malah ibu bapa dan guru yang bertungkus-lumus membantu melakukan persediaan sebaiknya sebelum calon melangkah ke dewan peperiksaan.
Ada ibu bapa yang menggunakan kesempatan cuti sekolah menghantar anak ke bengkel pecutan akhir SPM 2024. Dengan bimbingan guru cemerlang dan berpengalaman, penganjuran bengkel ini berupaya membantu pelajar menguasai teknik menjawab soalan selain tips mnjawab peperiksaan kelak.
Ada sekolah yang menganjurkan kelas tambahan sepanjang cuti sekolah ini. Ramai guru sanggup mengorbankan waktu rehat hadir ke sekolah membantu calon.
Usaha ini wajar dipuji dan diharap dapat menjadi pemangkin semangat buat calon SPM untuk melakukan yang terbaik. Terima kasih tidak terhingga kepada pendidik dan pihak sekolah. Tabik hormat buat kalian.
Khusus buat calon SPM 2024, kuatkan mental kalian. Jangan mudah patah semangat atau membiarkan rasa panik menguasai diri.
Sentiasa berfikiran positif, pasakkan dalam minda kalian boleh meraih keputusan cemerlang. Tiada yang mustahil jika berusaha dan berdoa. Percayalah setiap kesungguhan dan usaha itu pasti membuahkan akan hasil.
Selain itu, manfaatkan masa berbaki ini untuk mengulang kaji, menyemak buku nota atau tulisan ringkas dan menjawab koleksi soalan ramalan.
Seiring kemajuan teknologi, ada banyak rakaman audio dan visual yang dikongsi guru pakar boleh diperoleh menerusi Facebook, YouTube dan TikTok. Ia dapat membantu calon mengingat isi penting topik yang dipelajari sebelum ini. Paling penting, sesibuk mana pun melakukan persiapan akhir, jangan lupa bab kesihatan.
Pastikan kalian makan makanan berkhasiat, dapatkan rehat dan tidur yang cukup. Ini penting untuk kestabilan emosi, menghindari stres sekali gus meningkatkan daya fokus sepanjang peperiksaan kelak.
Usaha ini sebaiknya diiringi amalan kerohanian. Insya-Allah akan beroleh ketenangan dan kekuatan sepanjang menghadapi SPM kelak.
Jika dihitung selama 11 tahun kalian menggali ilmu di sekolah di peringkat rendah dan menengah, SPM adalah peperiksaan terbesar dan penting sebelum pelajar melangkah ke fasa seterusnya dalam hidup.
Justeru, lakukan yang terbaik mengikut kemampuan masing-masing. Doa penulis semoga semua calon SPM 2024 berjaya meraih keputusan yang cemerlang dan dapat menggapai impian kalian.
Buat ibu bapa, teruskan berdoa dan bisikkan kata-kata semangat buat anak-anak.
Sepanjang lebih sebulan pelajar menjalani peperiksaan SPM, kawal emosi dan kata-kata agar mereka sentiasa berada dalam keadaan tenang.
Terapkan suasana positif dan kondusif kerana ini detik paling mencabar dan penting buat anak kalian. Sama-sama kita berdoa agar anak-anak SPM 2024 sukses.














