fbpx

Ramkarpal Singh wakili pelajar UPNM cedera junior guna seterika

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amirul Iskandar (tengah) ketika hadir di Mahkamah Sesyen hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Peguam terkemuka, Ramkarpal Singh mewakili pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) yang didakwa mencederakan pegawai kadet junior dengan cara menekap seterika wap panas pada dada mangsa.

Perkara itu disahkan Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu pada sebutan semula kes tersebut di hadapan Hakim Egusra Ali di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Terdahulu, Hakim Egusra menetapkan 4 Februari 2025 untuk sebutan semula kes itu selepas Timbalan Pendakwa Raya, Nadia Eleena Jamaluddin memaklumkan terdapat beberapa lagi dokumen tambahan berkaitan belum diserahkan kepada pihak pembelaan.

Ramkarpal yang mewakili Amirul Iskandar Norhanizan, 22, turut mengesahkan perkara tersebut.

Peguam itu ketika ditemui selepas prosiding berkata, setakat ini pihaknya belum menerima arahan daripada anak guam untuk memfailkan sebarang representasi berhubung pertuduhan tersebut.

Semasa prosiding hari ini ibu bapa Amirul Iskandar turut hadir di mahkamah.

Pelajar itu didakwa dengan sengaja mencederakan mangsa, Muhammad Salman Mohd. Saiful Surash, 20, dengan seterika wap panas di sebuah bilik di blok Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) UPNM, Kem Sungai Besi di sini pukul 11.45 malam pada 22 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebatan.

Hakim Egusra sebelum ini membenarkan tertuduh yang ketika itu tidak diwakili peguam diikat jamin RM20,000 dengan dua penjamin berserta syarat dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan mangsa ditekap seterika di dada selepas diminta menggosok baju kerja seniornya di bilik asrama universiti berkenaan pada 22 Oktober lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI