BENTONG – Pemain gitar bass kumpulan Melissa yang terkenal dengan lagu Cinta Untuk Nabila, Ajak melakukan pelbagai pekerjaan untuk menyara kehidupan termasuk berniaga di pasar malam.
Selain menjual kuih dan cenderamata kumpulan Melissa, Ajak atau nama sebenarnya, Nor Razak Yas, 57, turut menjual produk retort jenamanya iaitu Nasi Rendang Pak Munawer yang mula dipasarkan secara kecil-kecilan pada 2003.
“Idea nasi rendang itu tercetus daripada filem Zombie Kampung Pisang. Dalam filem tersebut, saya menjadi zombie selepas memakan rendang. Alhamdulillah sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Kalau ada orang yang bertanya saya, memang tidak kekok berniaga termasuk di pasar malam bersama dengan isteri,” katanya ketika ditemui di pasar malam Downtown Anak Muda Bentong di sini semalam.
Ajak memberitahu, dia berhasrat untuk mengembangkan produk Nasi Rendang Pak Munawer yang merupakan produk retort Muslim dan halal ke seluruh negara.
Setakat ini lebih 2,000 cawan Nasi Rendang Pak Munawer berjaya dijual di seluruh negara.
Jelas lelaki itu, selain dijual di pasar malam Downtown Anak Muda Bentong, produk tersebut yang merupakan air tangannya bersama isteri turut dipasarkan di semua pasar raya ST Rosyam Mart.
Ketika ditanya mengenai perkembangan kumpulan rock tersebut, Ajak yang menghasilkan empat buah album bersama kumpulan Melissa memaklumkan, pada masa ini kumpulan tersebut mempunyai vokalis baharu.
“Kami juga sedia terima undangan daripada orang ramai untuk mengadakan persembahan,” katanya.














