fbpx
Anggota Tentera Bahagian Keempat Thailand menjalankan pemantauan di pangkalan haram Gergaji di sebelah Sungai Golok, Thailand semalam.- Foto oleh MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

Transit syabu di Malaysia sebelum seludup ke Australia, Eropah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SONGKHLA, THAILAND – Sindiket pengedaran dadah jenis methamphetamine atau syabu di Thailand dipercayai menjadikan Malaysia sebagai negara transit utama sebelum bahan terlarang itu dibawa ke Australia dan Eropah.

Perkara itu didedahkan Komander Tentera Bahagian Keempat Thailand, Leftenan Jeneral Paisan Nusang berkata, methamphetamine yang dihasilkan sindiket di bahagian Utara Thailand dibawa ke Selatan Thailand sebelum menyeberangi Sungai Golok untuk memasuki Malaysia.

“Berdasarkan risikan, tiada makmal memproses dadah itu di wilayah Selatan Thailand. Semua dadah-dadah itu diproses dan diperbuat di utara Thailand.

“Siasatan lanjut turut mendapati, dadah-dadah itu akan dibawa masuk ke Malaysia untuk transit sebelum diseludup ke Australia dan Eropah,” katanya pada sesi temu bual khas bersama petugas media Malaysia di sini semalam.

Paisan memberitahu, berdasarkan maklumat yang diperoleh pihaknya, methamphetamine mendapat permintaan di negara dan benua berkenaan.

Sehubungan itu, Tentera Bahagian Keempat sentiasa menjalankan pemantauan di sempadan terutama Sungai Golok bagi mengelakkan pergerakan sindiket itu memasuki Malaysia.

“Kita bimbang pelancong dari Thailand terbabit dengan sindiket pengedaran dadah terutama apabila mereka merentas Sungai Golok untuk masuk ke Malaysia.

“Saya lihat, penguatkuasaan ketat di kawasan sempadan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sejak 1 Disember lalu membantu dalam mengawal kegiatan penyeludupan di kawasan itu.

“Berdasarkan maklumat, seramai empat rakyat Thailand ditangkap PDRM kerana merentas Sungai Golok menggunakan pangkalan haram sejak operasi besar-besaran dijalankan pada awal bulan ini,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Paisan berkata, berbeza dengan situasi dadah, pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Myanmar terutama etnik Rohingya dan Kemboja pula menjadikan Thailand sebagai transit sebelum memasuki Malaysia.

Beliau berkata, siasatan mendapati, PATI dari kedua-dua negara itu mahu memasuki Malaysia untuk mendapatkan kehidupan yang lebih baik berikutan keadaan tidak stabil di tempat asal mereka.

“Perkara melibatkan PATI ini berkait dengan aspek permintaan dan penawaran (supply and demand). Apabila ada permintaan terhadap PATI di Malaysia, maka golongan tersebut akan berlumba-lumba untuk masuk.

“Ia melibatkan satu proses dan tugas yang besar untuk menghalang pergerakan mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN