Pelantikan jurulatih baharu skuad kebangsaan, Peter Cklamovski telah menjadi perbincangan hangat pelbagai pihak.
Selain jurulatih baharu, peminat tempatan turut teruja dengan beberapa pengumuman penting oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bagi meningkatkan kekuatan Harimau Malaya.
Bagi mendapatkan ulasan lanjut berkenaan revolusi bola sepak negara yang sedang giat dilakukan ketika ini, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Pensyarah Fakulti Sains Sukan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang juga merupakan pakar bola sepak tempatan, Prof. Madya Dr. Zulakbal Abd. Karim.
Skuad Harimau Malaya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dilihat sudah bermula dengan beberapa pengumuman penting pada minggu lalu. Pada pendapat Dr., mengapakah usaha ini perlu dilakukan segera?
Dr. Zulakbal: Usaha merevolusi skuad Harimau Malaya dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) perlu dilakukan segera kerana beberapa faktor penting.
Antaranya, sudah terlalu lama Harimau Malaya dibelenggu kegagalan demi kegagalan seperti tidak layak ke Olimpik, tidak menjuarai Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF), gagal di Sukan SEA, Piala Asia, apatah lagi Piala Dunia.
Justeru, saya bersyukur dan berasa lega apabila FAM sendiri ada keinginan untuk berubah dan menjadikan Harimau Malaya pasukan yang lebih baik, berjaya serta dihormati.
Saya menyokong penuh usaha FAM untuk memperkenalkan pendekatan baharu dalam pengurusan, teknologi dan perubatan.
Dengan revolusi ini, saya percaya kita dapat membina pasukan yang lebih mantap dan berdaya saing di peringkat global. Kita tidak boleh lagi mengamalkan gaya dan pendekatan lama.
Kita boleh lihat bagaimana Jepun telah berjaya meningkatkan prestasi bola sepak mereka dengan memperkenalkan program pembangunan belia yang komprehensif, dan melibatkan kerjasama kelab-kelab di Eropah.
Pendekatan ini boleh dijadikan contoh oleh Malaysia dalam usaha membina pasukan lebih mantap dan berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Saya fikir, revolusi ini penting untuk menarik semula minat dan sokongan peminat bola sepak tempatan yang telah berputus asa dengan kegagalan dan prestasi hambar pasukan bola sepak kebangsaan selama ini.
Prestasi yang baik dan konsisten akan meningkatkan semangat dan sokongan peminat. Ini seterusnya akan memberi impak positif kepada perkembangan bola sepak di Malaysia.
Sementelahan pula, prestasi pasukan kebangsaan adalah penting untuk menjamin kesatuan dan perpaduan rakyat tanpa mengira kaum dan bangsa.
Selain itu, pada hemat saya, revolusi dalam FAM dan skuad Harimau Malaya juga penting untuk menarik minat pelabur serta penaja.
Dengan prestasi yang baik dan pengurusan profesional, lebih banyak syarikat akan berminat untuk menaja pasukan serta menyokong pembangunan bola sepak di Malaysia.
Ini akan memberikan sumber kewangan yang diperlukan untuk meningkatkan infrastruktur, latihan, dan pembangunan bakat muda.
Kita boleh belajar dari negara jiran, di mana kejayaan pasukan bola sepak Thailand sejak beberapa tahun kebelakangan ini telah menarik minat penaja besar seperti King Power dan Toyota.
Akhir sekali, revolusi ini perlu dilakukan segera sekarang untuk memastikan Malaysia tidak ketinggalan dalam perkembangan bola sepak moden.
Negara-negara jiran seperti Thailand, Vietnam dan Indonesia telah menunjukkan peningkatan yang ketara dalam prestasi bola sepak mereka.
FAM dijangka memperkenalkan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam struktur baharu FAM. Bagaimana Dr. melihat struktur baharu FAM ini, mampukah ia meningkatkan kecekapan pengurusan sedia ada?
Pada pandangan saya, pengenalan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dalam usaha menswastakan FAM adalah langkah positif dan proaktif.
Saya fikir, struktur baharu ini boleh meningkatkan kecekapan pengurusan dengan membawa pendekatan profesional dan berstruktur.
CEO yang berpengalaman dalam pengurusan sukan atau korporat boleh memastikan keputusan berdasarkan data serta analisis tepat, sekali gus meningkatkan operasi pengurusan, serta menarik lebih banyak penajaan serta pelaburan.
Sebagai contoh, kita boleh melihat kejayaan bola sepak di Jerman, di mana pengurusan kelab-kelab bola sepak seperti Bayern Munich dan Borussia Dortmund telah membawa kejayaan besar di peringkat domestik serta antarabangsa.
Harapan saya, pengurusan yang lebih cekap dan profesional ini dapat membantu menyelesaikan segala permasalahan yang wujud dalam pasukan kebangsaan serta program-program lain di bawah pengurusan FAM.
Banyak khabar angin yang menyatakan bahawa Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail bakal mengemudi FAM bermula pada tahun depan. Mampukah figura hebat di sebalik kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) ini memacu skuad negara?
Tunku Mahkota Ismail adalah figura hebat di sebalik kejayaan Johor JDT. Saya fikir, jika beliau mengemudi FAM, ia berpotensi membawa perubahan besar dan memberi impak positif kepada skuad negara.
Kepimpinan beliau yang berwawasan dan berpengalaman dalam menguruskan JDT telah terbukti berjaya. Sebagai contoh, di bawah pimpinan beliau, JDT telah memenangi
Liga Super Malaysia sebanyak sepuluh kali berturut-turut dari tahun 2014 hingga 2023.
Selain itu, JDT berjaya memenangi Piala AFC pada tahun 2015, sekali gus menjadikan mereka pasukan Malaysia pertama yang memenangi kejohanan tersebut.
Saya yakin dan percaya, dengan pendekatan profesional dan strategi yang berkesan, Tunku Mahkota Ismail mampu memacu skuad negara ke arah kejayaan lebih gemilang di peringkat antarabangsa, atau sekurang-kurang dapat mencapai misi yang telah ditetapkan.
Antara elemen menarik yang diumumkan adalah jurulatih skuad Harimau Malaya, Peter Cklamovski. Bagaimanakah Dr. melihat kemampuan bekas jurulatih FC Tokyo ini?
Sebagai bekas pemain, jurulatih dan instruktor bola sepak, saya amat menantikan hasil buah tangan beliau. Bagi saya, Cklamovski memang ada rekod prestasi yang hebat dan berpotensi untuk mengembalikan kegemilangan skuad Harimau Malaya.
Beliau pernah menjadi pembantu jurulatih kepada Ange Postecoglou semasa Australia menang Piala Asia 2015. Selain itu, dia juga membantu Yokohama F. Marinos menang J1 League pada tahun 2019.
Sementara di FC Tokyo pula, beliau berjaya meningkatkan prestasi pasukan dengan membawa mereka ke kedudukan ketujuh dalam liga.
Pengalaman dalam mengurus pasukan di peringkat tertinggi menjadikan dia salah seorang calon yang sesuai untuk pimpin Harimau Malaya.
Saya berharap, dengan kepakaran dan visi yang jelas serta tanpa karenah birokrasi yang banyak, Cklamovski berpotensi membawa perubahan positif kepada skuad kebangsaan.
Selain barisan jurulatih, FAM turut mengumumkan pasukan perubatan khas dan teknologi untuk aspek latihan dan analisis. Adakah kedua-dua elemen ini dilihat penting bagi meningkatkan prestasi skuad negara?
Pada hemat saya, kedua-dua elemen ini sangat penting bagi meningkatkan prestasi sesebuah pasukan bola sepak.
Pasukan perubatan khas dapat memastikan pemain berada dalam keadaan fizikal yang optimum dan dapat pulih dengan cepat daripada kecederaan.
Teknologi dalam latihan dan analisis pula membolehkan jurulatih memahami kekuatan dan kelemahan pemain serta pasukan secara keseluruhan.
Dengan menggabungkan kedua-dua elemen ini, FAM dapat memastikan skuad Harimau Malaya berada pada tahap terbaik di peringkat antarabangsa.
Segala usaha yang dilakukan ketika ini adalah untuk menaikkan ranking pasukan negara, selain melayakkan diri ke Piala Asia 2027. Secara asasnya, mampukah kita mencapai sasaran ditetapkan ini?
Mencapai sasaran untuk menaikkan ranking Harimau Malaya dan melayakkan diri ke Piala Asia 2027 adalah cabaran besar, tetapi tidak mustahil.
Usaha yang dilakukan sekarang adalah langkah yang tepat.
Kita boleh melihat kejayaan Iceland, sebuah negara kecil dengan populasi sekitar 399,000 orang berjaya melayakkan diri ke Piala Dunia 2018 dan Piala Eropah 2016.
Kejayaan ini adalah hasil daripada pelaburan besar dalam pembangunan belia dan infrastruktur bola sepak, termasuk pembinaan padang tertutup dan jurulatih berkualiti tinggi.
Pendekatan ini melahirkan pemain berbakat yang mampu bersaing di peringkat antarabangsa. Jadi, saya percaya dengan komitmen berterusan dan sokongan daripada semua pihak, Malaysia berpotensi untuk mencapai sasaran ini.
Kejayaan ini memerlukan perancangan teliti, pelaksanaan berkesan dan penambahbaikan berterusan dalam semua aspek.
Jika kita dapat mengekalkan momentum ini, tidak mustahil untuk melihat Malaysia bersaing di Piala Asia 2027 dan meningkatkan ranking pasukan di peringkat antarabangsa.
Malah, saya percaya bahawa kita perlu meletakkan sasaran baharu untuk layak ke suku akhir, memandangkan sebelum ini kita telah pun layak ke Piala Asia 2023.
Diharapkan pelaburan besar untuk revolusi ini dapat dipastikan berbaloi atau dapat mencapai ROI (return of investment), dan jurulatih serta pengurusan bergaji besar ini dapat dipastikan mencapai matlamat ditetapkan.
Ketika ini, kita lihat Indonesia berjaya menaikkan taraf bola sepak mereka hasil bantuan pemain warisan. Malaysia juga mula mengorak langkah ke arah itu, bagaimana Dr. melihat usaha ini?
Dalam isu ini, saya menyokong usaha Malaysia untuk menaikkan taraf bola sepak dengan bantuan pemain warisan. Pemain warisan berkualiti, mempunyai latar belakang dan pengalaman bermain di luar negara boleh membawa perspektif serta imej baharu kepada pasukan kebangsaan.
Sebagai contoh, Indonesia telah berjaya meningkatkan prestasi bola sepak mereka dengan bantuan pemain warisan seperti Matin Paes, Hubner, Sandy Walsh, Verdonk, Jay Idzes dan ramai lagi.
Di Malaysia, kita boleh melihat potensi yang sama dengan pemain warisan seperti Matthew Davies, Brendan Gan, Dion Cools dan Darren Lok. Kehadiran mereka bukan sahaja meningkatkan kualiti permainan, tetapi memberi inspirasi kepada pemain tempatan untuk mencapai tahap lebih tinggi.
Bagaimanapun, masih terdapat ramai lagi pemain warisan yang berada di luar negara yang boleh diketengahkan, dan perkara ini telah diambil tindakan oleh FAM.
Mereka telah berbincang dengan wakil Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk mengenal pasti lebih ramai pemain warisan yang bermain di luar negara. Pada saya, ia adalah langkah serius yang diambil oleh pengurusan baharu Harimau Malaya.
Dengan menggabungkan pengalaman pemain warisan dan bakat tempatan, Malaysia berpotensi untuk meningkatkan prestasi di peringkat serantau, antarabangsa dan perlawanan berprofil tinggi.
Oleh itu, usaha ini adalah sangat diperlukan dan boleh membawa perubahan positif kepada bola sepak Malaysia.














