Memelihara kelestarian alam sekitar menerusi penghasilan produk fabrik berasaskan dedaun dan bunga-bungaan menjadi identiti bagi Ghomah Batik Manjung di Perak.
Pengasasnya, Elizawati Ellias, 39, mengakui kekayaan sumber alam di sekelilingnya memberikannya akses mudah terhadap bahan-bahan yang diperlukan bagi penghasilan fabrik.
Menurutnya, produk fabrik berkenaan atau lebih sinonim dengan jolokan ‘batik alternatif’ oleh penggiat batik tempatan menggunakan daun-daun tempatan seperti jati, lemuni, kulai, bakau, jambu dan sepang.
“Kita dapati daun-daun ini tumbuh merata di Manjung, jadi sumber yang begitu banyak itu kita manfaatkan menerusi penghasilan fabrik ekocetak ini.
“Kaedah penghasilan fabrik ini tidak menggunakan teknik tradisional penghasilan batik iaitu mencanting sebaliknya fabrik dihasilkan Ghomah Batik Manjung menerusi teknik tekapan,” katanya kepada Panorama baru-baru ini.
Menurutnya, teknik tekapan terus daun-daun yang diperoleh tersebut ke atas fabrik juga menggunakan bahan pemati warna seperti tawas, ekstrak soya dan jus lemon bagi melengkapkan proses itu.
Elizawati berkata, setelah proses berkenaan selesai dilaksanakan, barulah mereka dapat meneruskan langkah berikutnya iaitu menjahit fabrik berkenaan kepada bentuk akhir yang diingini.
Menurutnya, antara produk dihasilkan Ghomah Batik Manjung menggunakan fabrik ekocetak berkenaan termasuklah pakaian seperti baju lelaki dan wanita, barangan hiasan seperti beg serta kain perhiasan.
“Kita juga menjualnya pada harga yang mesra pengguna bergantung kepada jenis item diingini mereka. Harga ditawarkan bagi barangan tersebut bermula serendah RM30 sehingga mencecah ratusan ringgit,” katanya.
Elizawati memberitahu, bahan-bahan yang digunakan bagi proses pembuatan fabrik ekocetak itu pula digunakan semula dan tidak dibuang terus.
Elizawati menjelaskan, daun-daun digunakan tersebut masih lagi mempunyai kegunaannya biarpun produk fabrik berkenaan siap dihasilkan, antaranya dijadikan baja kompos.

“Bahkan air rebusan daun-daun berkenaan juga kita tak buang kerana ia boleh dijadikan siraman terhadap pokok-pokok. Ia sekali gus mencapai matlamat kita iaitu untuk memelihara kelestarian alam sekitar.
“Proses pemeliharaan alam sekitar ini banyak caranya dan kita gembira dapat menyumbang kepada orang ramai dan alam sekitar menerusi kaedah ini,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengerusi Persatuan Aktivis Sahabat Alam (Kuasa), Noor Ismady Ahmad Radzuan berkata, pihaknya turut memainkan peranan aktif dalam menyebarkan maklumat kepada umum mengenai batik eko cetak berkenaan.
Menurut beliau, antara usaha yang dilakukan bagi tujuan tersebut adalah dengan menjalin kerjasama dengan pihak berkuasa tempatan iaitu MPM menerusi Unit Landskapnya selain Ghomah Batik Manjung.
“Kerjasama yang dijalin itu mempunyai beberapa matlamat seperti menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bagi tujuan inovasi penghasilan batik selain mengadakan beberapa siri pameran.
“Kita juga menjual batik-batik tersebut kepada orang ramai menerusi acara-acara berkaitan. Menjaga alam sekitar sentiasa menjadi tumpuan Kuasa, jadi batik ekocetak merupakan antara kaedah boleh dilaksanakan,” katanya.
Noor Ismady berkata, proses pembuatan fabrik ekocetak menggunakan tumbuh-tumbuhan semula jadi yang boleh didapati dengan mudah di sekeliling orang ramai adalah mesra alam.
Justeru, ujar beliau, selaku pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan alam sekitar, batik ekocetak menepati kriteria produk yang wajar diuar-uarkan kepada orang ramai.
“Kami daripada Kuasa menyokong usaha Ghomah Batik Manjung dalam menghasilkan produk menggunakan bahan alam semula jadi di mana sisa buangannya juga boleh digunakan semula seperti siraman pokok.
“Usaha Ghomah Batik Manjung ini menjadi pelopor kepada golongan wanita terutamanya dalam seni yang diadunkan dengan bahan alam semula jadi serta rekaan yang eksklusif oleh mereka (Ghomah Batik Manjung),” katanya.
Noor Ismady berkata, difahamkan produk fabrik ekocetak keluaran Ghomah Batik Manjung menerima tempahan daripada pelbagai golongan termasuk syarikat-syarikat swasta dan jabatan-jabatan kerajaan.
Dalam pada itu, Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin berkata, pihaknya turut memainkan peranan aktif dalam membantu mempromosikan produk dihasilkan pemain kraf tempatan.
“Seperti Ghomah Batik Manjung, kita turut membantu dari segi promosi apabila mereka dijemput untuk hadir memeriahkan program-program kraf tangan di negeri ini.
“Kita mahu menerusi penyertaan pemain-pemain industri ini di program-program kraf, pendedahan berkaitan mereka dan produk dihasilkan dapat disebar luas kepada orang ramai,” katanya.














