fbpx
Barangan-barangan antik menghiasi ruang-ruang dalam kafe sekali gus menjadi pencetus perbualan antara generasi.

K2

Estetik tema nostalgia kampung Melayu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGGARAPAN reka bentuk dalaman bertemakan nostalgia bukan sekadar pilihan estetik, malah berakar umbi dalam ruang falsafah.

Nostalgia mampu membangkitkan tindak balas emosi dengan menuntun individu ke detik-detik yang dihargai dari masa lalu.

Selain itu, ia juga dapat merapatkan jurang generasi sekali gus mewujudkan pengalaman budaya yang boleh dikongsi secara universal.

Dengan falsafah itu jugalah, pemilik Kayo Cafe, Zai Azizul Zainol memilih nostalgia kampung Melayu sebagai tema bagi kafe miliknya di Tampin, Negeri Sembilan.

“Saya mahu apabila pelanggan datang ke kafe ini, mereka yang berada di lingkungan 50 tahun ke atas dapat imbau semula kenangan lama.

“Sementara itu, ia juga boleh dijadikan topik perbualan antara generasi tersebut dengan anak-anak mereka yang mungkin tidak pernah lihat barang-barang antik ini,” katanya.

Saat melangkah masuk ke dalam kafe dua tingkat tersebut, para pelanggan akan ‘disapa’ dengan tingkap-tingkap kayu lama yang diubah menjadi dinding pembahagi ruang.

Di belakang dinding tersebut adalah bahagian tempat penyediaan makanan dan minuman yang kemudiannya bersambung dengan bahagian juruwang.

Menuju ke dalam lagi, terdapat satu ruang meja makan lama yang dikelilingi barang-barang antik termasuk basikal lama.

Basikal lama turut digantung pada salah satu ruang untuk lebih mengangkat nilai nostalgik pada kafe.

Pengalaman estetik kafe tersebut diteruskan dengan susunan dulang di sepanjang tangga menuju ke bahagian atas kafe.

Terdapat tiga bahagian kafe di sebelah atas dengan dua ruang bersifat lebih peribadi bagi mereka yang mahu tempat lebih tertutup. Salah satu ruang tersebut adalah ruang duduk di atas lantai yang sesuai untuk keluarga dengan anak-anak kecil.

Ruang terbuka pula memuatkan lebih kurang 20 orang pelanggan dalam satu-satu masa.

Mengulas mengenai inspirasi, Zai Azizul yang juga merupakan seorang cef itu berkata, dia mendapat ilham ketika bertugas di Jerman satu ketika dahulu.

“Sewaktu saya bekerja di Jerman, saya banyak kunjungi kafe di bahagian pedalaman negara tersebut dan saya tertarik dengan konsep kafe mereka.

“Mereka banyak menggunakan kafe bertemakan pengumpulan barang-barang lama yang secara tidak langsung mencetuskan rasa ingin tahu pelancong tentang budaya mereka,” ujarnya.

Secara keseluruhan, pemasangan hiasan dalaman kafe itu dilakukan secara berkala sejak kafe dibuka pada Februari 2022. Estetikanya juga harmoni dengan tarikan pelancongan di bahagian luar kafe iaitu lorong seni dengan mural-mural bersifat kebudayaan.

Jelas lelaki berusia 50 tahun tersebut, kebanyakan barang hiasan sama ada dibeli di pasar karat seluruh Malaysia atau barangan yang diwarisi daripada keluarga.

“Sesetengah barang antik dibeli dari pasar karat di merata tempat di Malaysia. Ada yang saya beli di Muar, ada juga yang dibeli di Pulau Pinang.

“Terdapat beberapa barangan yang diwarisi seperti lesung padi milik nenek isteri saya, manakala dulang-dulang lama saya ambil daripada keluarga-keluarga terdekat,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN