KUALA LUMPUR – Jabatan Veterinar mengesahkan kucing yang ditemui mati di kampus Universiti Malaya (UM), di sini baru-baru ini disebabkan gigitan anjing liar.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, laporan awal Jabatan Veterinar mendapati kesan pada kucing itu berpunca daripada serangan haiwan liar.
“Setakat ini, tiada laporan polis dibuat berhubung kejadian itu.
“Bagaimanapun, semakan dengan pihak Keselamatan UM mendapati Pentadbiran UM menerima maklumat dan siasatan dalaman telah dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini tular di media sosial mengenai seekor lagi kucing ditemui mati dengan keempat-empat kaki hilang di UM.
Rabu lalu, akhbar melaporkan dua ekor kucing yang ditemui mati dalam keadaan menyayat hati di Fakulti Perniagaan dan Ekonomi UM bukan akibat perbuatan kejam manusia, sebaliknya diserang anjing liar.
Pihak polis menerima aduan berhubung kejadian itu pada pukul 6.20 petang, Selasa lalu.
Sejurus menerima laporan, siasatan telah dijalankan dan mendapati kematian kedua-dua ekor kucing itu berpunca daripada serangan anjing liar yang berkeliaran di situ. -KOSMO! ONLINE.