fbpx
Tia yang kehilangan bapa, datuk dan nenek selepas terlibat kemalangan Ahad lalu masih dirawat di Hospital Sultan Ismail, Johor Bahru.

Kenapa semua orang tinggalkan Tia?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KOTA TINGGI – “Kenapa semua orang tinggalkan Tia?”

Itu luahan sedih kanak-kanak lima tahun yang terselamat dalam kemalangan yang meragut nyawa bapa, datuk serta nenek­nya pada malam Ahad lalu.

Kemalangan itu menyebabkan Athiyyah Nur Sofia Muhamad Izuddin, 5, menjadi anak yatim piatu dalam sekelip mata selepas ibunya juga telah meninggal dunia dua tahun lalu akibat sakit.

Ibu saudaranya, Ainie Amira Abd Azis, 27, berkata, Athiyyah Nur Sofia yang mesra dipanggil Tia kini masih dirawat di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru.

Katanya, keadaan kanak-kanak itu semakin pulih selepas cedera dalam kemalangan itu.

“Doktor ada maklumkan yang mereka akan pantau Tia terlebih dahulu dalam masa terdekat.

“Tentang kematian bapa, datuk dan neneknya, dia sudah tahu sejak di Hospital Mersing lagi. Dia ada cakap dekat saya, papa, nenek, atok sudah tiada.

“Kami juga ada video call semasa proses pengebumian ayah, datuk dan neneknya. Dia sempat cakap kenapa semua orang tinggalkan Tia,” katanya semalam.

Menurutnya, ketika melihat pengebumian insan-insan yang disayangi itu, Tia terkedu dan menahan daripada menangis.

Katanya, Tia juga ada menceritakan sedikit ketika kejadian kemalangan itu berlaku.

“Dia sedar dari masa kejadian lagi. Ketika kejadian, Tia dengan papa duduk depan, nenek de­ngan atok duduk di belakang.

“Apabila kemalangan berlaku, nenek terhantuk sampai tempat lagu (radio). Kemudian nampak kepala nenek berdarah dan papa sempat cakap astaghfirullah sebelum ayahnya dan datuk turut meninggal dunia,” ujarnya.

Katanya, setakat ini Tia tidak mengigau teringatkan kemala­ngan ngeri itu.

“Dia tanya juga bila boleh keluar hospital tapi saya cakap tunggu doktor beri keluar, barulah keluar. Insya-Allah keluarga kami belah arwah mamanya akan jaga sampai dia sembuh,” ujarnya.

Terdahulu, Kosmo! melapor­kan Tia satu-satunya yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa tiga ahli keluarga lain di Kilometer 45, Jalan Kota Tinggi-Mersing berhampiran simpang masuk Ladang Arami Jaya.

Bapanya, Muhamad Izuddin Md. Yusuf, 36, maut bersama datuk dan nenek, Md. Yusuf Mukhtar, 71, serta Rosnah Salleh, 65.

Nahas berlaku selepas kereta Toyota Vios dipandu seorang lelaki berumur 28 tahun dari arah Kuantan menuju ke Johor Bahru dipercayai terbabas dan mema­suki laluan bertentangan sebelum bertembung Proton Persona dinaiki empat sekeluarga itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN