SELEPAS memberikan kemasan akhir pada lukisan di atas sebiji topi keledar, Lee Chooi Yee, 39, perlu menunggu cat tersebut kering terlebih dahulu. Kemudian, topi keledar itu dimasukkan ke dalam kotak untuk dihantar kepada pelanggan.
Begitulah rutin harian Chooi Yee selepas wanita itu memilih kerjaya sebagai artis seni yang menghasilkan karya pada topi keledar.
Chooi Yee atau lebih dikenali sebagai Abs Lee merupakan nama besar dalam kalangan peminat sukan permotoran di negara ini. Ramai mahu memiliki topi keledar khas yang mendapat sentuhan Chooi Yee.
Ini kerana, ramai yang terpukau dengan hasil kerjanya yang kemas, serta custom design mengikut kehendak pelanggan. Bercerita tentang perjalanan kariernya, bekas lulusan Universiti Limkokwing itu berkata, dia mula menjadi artis seni topi keledar sejak sedekad lalu.
“Saya menceburi bidang ini dan mengasaskan label sendiri iaitu AbsLee Design pada 2014.
“Sebenarnya, minat dan inspirasi telah timbul pada 2012, di mana ketika itu saya menonton video seorang lelaki di luar negara menggunakan teknik airbrush untuk mengecat kereta.
“Saya terus terfikir, mungkin saya boleh menggunakan teknik sama, namun di atas topi keledar.
“Hal ini kerana, saya mahu orang luar seperti penunggang motosikal atau pelumba kereta memakai karya seni saya,” jelasnya kepada K2.
Chooi Yee berkata, setiap topi keledar yang dihasilkannya mempunyai kisah dan tema tersendiri.
Bagi topi keledar custom, Chooi Yee akan berbincang dengan pelanggan tentang tema dan rekaan yang mereka mahukan sebelum diterjemah di atas topi keledar.
“Namun, bagi pelanggan yang tidak menetapkan tema, saya bebas berkarya dan menghasilkan rekaan tersendiri,” kongsinya.

Sehingga kini, Chooi Yee sudah menghasilkan banyak rekaan pada topi keledar.
Namun, antara yang paling berbekas di hatinya adalah sebiji topi keledar dengan motif karakter kartun Bunnyboy bersama pelbagai juadah Malaysia.
Bagi Chooi Yee, proses menghasilkan lukisan pada topi keledar itu cukup dekat di hatinya, dan paling seronok untuk disiapkan.
Selain itu, dia amat menyukai rekaan ‘Sakura Memoir’ dan ‘Koi’s Memoir’, kerana proses menghasilkannya penuh dengan penceritaan serta perasaan, sekali gus menjadikan artis seni seperti Chooi Yee sangat berpuas hati selepas menyiapkannya.
Mengulas tentang proses menyiapkan sesuatu karya, Chooi Yee berkata, dia akan memulakan perbincangan dengan pelanggan dalam menentukan rekaan yang dimahukan mereka.
Selepas itu, Chooi Yee akan membersihkan dan menanggalkan semua bahagian pada topi keledar sebelum mula melukis.
Wanita itu akan melukis lukisan sama ada menggunakan teknik lukisan tangan atau airbrush.
Jika perlu, dia akan menggabungkan kedua-duanya teknik itu tersebut mengikut rekaan yang mahu dihasilkan.
Menghasilkan karya seni mengagumkan pada kanvas tidak konvensional seperti topi keledar sememangnya hadir dengan cabaran tersendiri.
Kongsi Chooi Yee, cabaran terbesar adalah proses mengukur permukaan topi keledar dan memastikan rekaan yang dihasilkan kelihatan sama pada kedua-dua sisi.
“Selain itu, kesilapan yang terhasil pada permukaan topi keledar juga amat sukar untuk dipadam. Justeru, saya perlu memastikan hasilnya kemas.
“Saya turut berdepan cabaran menyiapkan tempahan kerana ada kalanya sesuatu rekaan terpaksa mengambil masa agak lama untuk disiapkan.
“Situasi ini ada kalanya tidak difahami oleh pelanggan,” katanya yang mengambil masa antara dua hingga sembilan minggu untuk menyiapkan satu-satu rekaan.
Rekaan yang dihasilkan Chooi Yee juga telah berkembang sejak 10 tahun lalu, di mana ketika mula-mula menceburi bidang itu, dia banyak menghasilkan motif comel dan ceria.
“Saya bermula dengan menghasilkan karakter kartun pada topi keledar. Namun, seni sukan permotoran telah menjadikan rekaan saya turut berkembang dan menjadi semakin ‘serius’ sejak beberapa tahun lalu.
“Bahkan, saya sudah mula menghasilkan rekaan yang menggabungkan dua teknik seni iaitu lukisan tangan dan teknik airbrush. Ia bagi membolehkan setiap topi keledar mempunyai tekstur berbeza,” kongsinya.
Kini, Chooi Yee menghasilkan pelbagai rekaan mengagumkan, sekali gus menjadikan bakatnya bukan sahaja dikagumi oleh orang tempatan, malah pelanggan dari luar negara seperti Singapura, Australia, Hong Kong, Perancis dan Amerika Syarikat.
Sebelum mengakhiri bicara, Chooi Yee berkata, artis seni topi keledar sama seperti pekerjaan lain.
Katanya, seseorang itu perlu mempunyai minat, sikap bersungguh-sungguh dan kesabaran memandangkan ia bukanlah sesuatu yang mudah.
“Sebagai artis seni, mengekalkan kualiti kerja bukanlah sesuatu yang mudah. Namun, ia mampu memberikan kepuasan kepada saya,” katanya.














