KETIKA banjir melanda negeri-negeri di Pantai Timur baru-baru ini, Khairul Aming antara usahawan dan pempengaruh media sosial yang aktif menyalurkan bantuan kepada mangsa terjejas.
Dapat dilihat dalam media sosial, Khairul Aming yang berasal dari Kelantan bekerja keras bagi membantu meringankan beban mangsa banjir.
Malangnya, dia terpaksa dimasukkan ke hospital untuk mendapat rawatan selepas aktif membantu golongan terjejas banjir.
Berkongsi di akaun Instagram miliknya, Khairul Aming menyatakan bahawa dia telah terkena jangkitan E.coli semasa menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir.
Kesan daripada jangkitan itu, dia mengalami diarrhea atau cirit-birit selama lima hari tanpa henti sehingga menyebabkan badannya lesu.
Ketika ini, banjir masih berlaku di beberapa kawasan dan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan ia akan berlarutan sehingga Mac depan.
Malah di Sabah dan Sarawak, banjir dijangka berlaku dalam tempoh penghujung bulan ini sehingga Mac depan.
Oleh itu, mereka yang dijangka terlibat dalam banjir perlu mengambil langkah waspada kerana bencana tersebut membawa risiko tinggi terhadap penularan beberapa penyakit berjangkit.
Kejadian banjir di Malaysia terutamanya semasa musim tengkujuh boleh memberi ancaman terhadap kesihatan awam.
Ia boleh menimbulkan pelbagai masalah kesihatan yang memberi kesan jangka masa panjang.
Konsultan Perubatan Dalaman dan Pakar Penyakit Berjangkit di Columbia Asia Hospital, Seremban, Negeri Sembilan, Dr. Suvintheran Thangavelu berkata, banjir boleh mengundang risiko penularan penyakit berjangkit.
Salah satunya adalah leptospirosis atau lebih dikenali sebagai penyakit kencing tikus.
Menurutnya, penyakit itu boleh menyebabkan kegagalan buah pinggang, jaundis dan pendarahan paru-paru.
“Selain itu, mangsa banjir boleh terdedah kepada masalah melioidosis yang merupakan sejenis penyakit disebabkan oleh bakteria Burkholderia pseudomallei.
“Kuman ini boleh menyebabkan bakteremia (bakteria dalam darah), jangkitan paru-paru, hati dan limpa,” katanya.
Tambahnya, kuman tersebut kerap menjangkiti pesakit yang mempunyai sistem imun rendah seperti golongan memiliki penyakit kencing manis tidak terkawal.
Selain itu, antara penyakit berjangkit lain yang berisiko ketika musim banjir adalah hepatitis A.
Hepatitis A merupakan salah satu virus yang merebak melalui kontaminasi makanan atau minuman.
Sekiranya jangkitan yang teruk berlaku, ia boleh menyebabkan kegagalan hati.
Dr. Suvintheran menjelaskan, banjir juga boleh menyebabkan Acute Gastroenteritis (AGE) atau jangkitan usus.
“AGE merupakan salah satu masalah yang kerap berlaku ketika banjir. Ia disebabkan oleh pelbagai kuman, antaranya E.coli, Shigella, Salmonella dan Norovirus.
“Selain itu, banjir boleh menyebabkan cellulitis ataupun jangkitan kulit yang menyebabkan keradangan.
“Risiko akan meningkat jika seseorang itu meredah air atau berjalan ‘kaki ayam’ di tempat terjejas banjir,” jelasnya.
Tambahnya, kuman yang boleh menyebabkan cellulitis adalah Staphylococcus aureus, Streptococcus pyoges, Pseudomonas sp., aeromonas sp. dan kulat.
Dalam pada itu, banjir boleh menyebabkan berlakunya masalah pneumonia atau jangkitan paru-paru.
Risiko masalah tersebut boleh meningkat jika seseorang itu terpaksa berada di ‘shelter’ yang padat dengan orang ramai.
Dr. Suvintheran menerangkan, kuman yang kerap menyebabkan masalah pneumonia adalah Scrub typhus dan ia adalah jangkitan disebabkan oleh kuman genus Rickettsia.
“Kuman ini memasuki badan manusia melalui gigitan pepijat, dan ia akan membiak serta merebak dengan kadar yang lebih tinggi pada waktu hujan atau banjir.
“Scrub typhus akan menyebabkan demam serta kegagalan hati dan buah pinggang,” ujarnya.

Selain itu, banjir juga boleh mengundang kepada masalah denggi.
Denggi adalah penyakit yang disebabkan oleh virus bawaan nyamuk aedes.
Ketika musim hujan lebat dan banjir, pembiakan nyamuk aedes akan meningkat, sekali gus menyebabkan kes demam denggi bertambah.
Kes demam denggi yang teruk akan menyebabkan ‘plasma leakage’, dan boleh menyebabkan kematian terutamanya jika rawatan lewat diberikan.
Mengulas lanjut tentang penularan penyakit berjangkit yang disebabkan banjir, Dr. Suvintheran berkata, masalah itu boleh berlaku disebabkan beberapa cara.
Pertama adalah berkaitan minuman dan makanan yang tercemar dengan kuman.
Menurutnya, jangkitan akan bermula jika mangsa banjir makan atau minum benda yang tercemar dengan kuman.
“Kedua, penularan penyakit juga boleh berlaku ketika mangsa meredah air banjir. Ketika meredah, kuman penyebab leptospirosis serta melioidosis boleh memasuki kulit melalui kecederaan mikroskopik .
“Ketiga, mereka yang terpaksa dipindahkan ke tempat perlindungan banjir padat, sekali gus meningkatkan risiko mendapat pneumonia.
“Ini kerana, kuman influenza boleh merebak melalui ‘respiratory droplet’ semasa seseorang itu bersin atau batuk,” terangnya.
Sementara itu, Dr. Suvintheran berkata, rawatan penyakit bergantung kepada jenis infeksi yang dialami pesakit.
“Contohnya, penyakit leptospirosis dirawat dengan menggunakan antibiotik.
“Manakala jangkitan yang disebabkan kuman penyebab melioidosis biasanya memerlukan rawatan antibiotik intravena sehingga empat minggu, diikuti oleh antibiotik makan untuk tiga hingga enam bulan seterusnya.
“Penyakit seperti denggi pula mungkin memerlukan rawatan intravena dan pemerhatian yang lebih mendalam terhadap pesakit,” katanya.
Sebelum mengakhiri bicara, Dr. Suvintheran menitipkan pesan agar mangsa banjir sentiasa menjaga kesihatan sebaiknya bagi mengelak berhadapan penyakit berjangkit.
“Jangan meredah atau bermain air banjir. Jika perlu meranduk air ke tempat yang selamat, pastikan anda memakai kasut untuk melindungi diri.
“Selain itu, jangan minum air banjir, sebaiknya cuba dapatkan air bersih.
“Jika anda menggunakan pemanas air, pastikan air itu dididihkan sebelum diminum,” jelasnya.
Tambahnya, elakkan daripada mengambil makanan yang tercemar dengan air banjir kerana ia kurang selamat untuk dimakan.
“Untuk pesakit yang menghidap penyakit kronik, pastikan anda memaklumkan kepada pegawai di tempat perlindungan dan pastikan bekalan ubat mencukupi.
“Jika mangsa banjir berasa tidak sihat, pastikan anda mendapatkan rawatan perubatan segera dan jangan tunggu sehingga keadaan kritikal,” ujarnya.














