fbpx

Tang Jie berdarah hidung ke separuh akhir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TANG JIE (kiri) dan Ee Wei mengesahkan tempat awal ke separuh akhir WTF 2024 hasil dua kemenangan setakat ini.

BEREGU campuran No. 1 negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menempah slot separuh akhir Kejohanan Badminton Jelajah Dunia Akhir (WTF) 2024 selepas mencatat kemenangan kedua dalam saingan kumpulan B.

Pada perlawanan di Hangzhou, China hari ini, Tang Jie-Ee Wei tidak berdepan banyak masalah apabila mencatat kemenangan 21-17, 21-18 ke atas Dejan Ferdinansyah-Gloria Emanuelle Widjaja.

Ia sekali gus menebus kekalahan mereka kepada pasangan dari Indonesia tersebut ketika beraksi pada pusingan kedua Terbuka China di Changzhou, September lalu.

Tang Jie berkata, kemahuan untuk menampilkan aksi terbaik membantu mereka mencatat kemenangan ke atas pasangan No. 13 dunia itu meskipun dia sendiri mengalami pendarahan hidung di set pertama.

“Sebenarnya kami pernah bertemu sekali sebelum ini dan kami tewas. Oleh itu, kami mahu dapatkan kemenangan di peringkat ini dan kemahuan untuk bermain dengan baik membantu kami hari ini.

“Saya memang selalu seperti ini (hidung berdarah) tetapi tidak ada sebarang masalah dan masih okey,” katanya kepada Persekutuan Badminton Dunia (BWF) selepas tamat perlawanan hari ini.

Dalam pada itu, Ee Wei turut menjelaskan kemenangan semalam turut berpunca daripada ketua jurulatih, Nova Widianto yang memberi sepenuh kepercayaan kepada dia dan Tang Jie menampilkan aksi terbaik.

“Jurulatih banyak memberi keyakinan dan percaya kami boleh lakukannya. Hari ini (semalam) permainan kami lebih stabil dan fokus kerana sudah buat perbincangan selepas perlawanan semalam (kelmarin),” ujarnya.

Satu lagi wakil beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai turut mencatat kemenangan 21-14, 21-14 ke atas pasangan Jepun, Hiroki Midorikawa-Natsu Saito bagi mencerahkan peluang ke separuh akhir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI