MENERUSI peluang yang diberikan oleh sebuah syarikat pengurusan pusat beli-belah, pemuda itu tampil dengan idea kreatif untuk menghasilkan mural menggunakan media campuran iaitu sisa bahan teknologi atau e-sisa (e-waste).
Cadangan itu dilakukan kerana bahan e-sisa belum lagi diketengahkan untuk projek seni oleh syarikat berkenaan dan pada masa sama bersesuaian dengan tema karya tersebut.
Menurut Abdul Syukur Abdul Rani, 30, karya e-waste dihasilkan sebagai mural di pusat beli-belah, Sunway Big Box Retail Park, Iskandar Puteri, Johor itu merupakan kesinambungan kepada tema siri gadis yang ditetapkan untuk projek berkenaan.
“Bagi mural e-sisa, figuratif wanita yang diketengahkan adalah seorang berkerjaya dan mandiri.
“Oleh itu, penggunaan e-sisa amat bersesuaian untuk memberi impak visual bagi sifat wanita tersebut, selain menegaskan mesej cintakan alam sekitar dengan cara mengitar semula sisa buangan.
“Bagi karya bersaiz 2.7 x 4.5 meter ini, saya mengambil masa kira-kira empat bulan untuk disiapkan dengan menggunakan pelbagai bahan e-sisa.
“Antara bahan e-sisa yang digunakan adalah papan kekunci, telefon bimbit, papan cip, kabel, pembesar suara dan bahan aluminium daripada unit CPU (pemproses),” katanya ketika dihubungi K2 baru-baru ini.
Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Syukur Rani berkata, seni mural tersebut merupakan karya pertamanya menggunakan bahan e-sisa.
Katanya, dia banyak belajar perkara baharu terutama tentang cara mengendalikan serta mengolah bahan untuk membentuk sebuah karya visual.

Seni e-sisa ialah gabungan antara kesedaran alam sekitar dan inovasi artistik seorang ahli seni.
Ia melibatkan transformasi barangan elektronik yang dibuang kepada karya seni menawan dan membangkitkan pemikiran.
Trend tersebut mula mendapat momentum sejak beberapa tahun kebelakangan ini, di mana artis di seluruh dunia meneroka kemungkinan tanpa had untuk mengubah sisa elektronik menjadi karya agung menakjubkan.
Seni itu muncul daripada keinginan untuk menangani cabaran sisa elektronik secara kreatif selepas berlaku peningkatan sisa ekoran pembangunan yang pesat.
Artis seni dan pencinta alam sekitar menyedari potensi menggunakan semula gajet yang dibuang untuk meningkatkan kesedaran e-sisa sambil mencipta karya seni.
Artis seni melihat komputer lama, telefon bimbit dan kabel bukan sebagai sampah, sebaliknya blok bangunan artistik.
Biasanya, tujuan seni e-sisa dihasilkan adalah untuk menyerlahkan kesan alam sekitar pada era digital dan memberi inspirasi kepada kemampanan.
Hal itu juga diterapkan oleh Syukur Rani dan seorang lagi artis seni tempatan dengan portfolio karya e-sisa, Nor Tijan Firdaus.
Dikenali sebagai peneraju seni e-sisa tempatan, wanita berasal dari Klang, Selangor itu memberitahu, idea menggunakan e-sisa dalam karya seninya bermula ketika menyambung pengajian di peringkat sarjana dalam jurusan seni halus dan teknologi di Universiti Teknologi Mara (UiTM) pada tahun 2015.
“Pada asalnya, karya saya tidak tertumpu pada e-sisa, tetapi pelbagai bahan terpakai termasuk isi di dalam rumah.
“Namun pada satu ketika, saya dapati bahan e-sisa banyak dikumpul dan ia mendorong saya menghasilkan satu karya khusus bagi kategori bahan itu, di mana ia membawa penceritaan tersendiri,” ujarnya.
Menurutnya, bagi karya pertama berjudul ‘Untitled Note’, dia banyak menjalankan kajian mengenai isu penggunaan e-sisa dan alam sekitar.
Dalam perjalanan mempelajari seni e-sisa, Nor Tijan memberitahu, dia banyak belajar daripada kesilapan setiap kali berkarya.
Ujarnya, setiap proses penghasilan karya membantunya mengenal pasti keperluan serta proses teknikal mengendalikan bahan e-sisa.
Kongsinya lagi, proses menghasilkan karya mempunyai enam peringkat seperti memerah idea, lakaran idea ke bentuk visual, penyediaan permukaan karya, penyediaan bahan sesuai, pengolahan komposisi bahan dan penghalusan akhir.
“Menghasilkan karya e-sisa memerlukan ketekunan, ketelitian dan kefahaman tentang teknikal seperti pembersihan, pengasingan, pemotongan bahan-bahan serta pengolahan setiap bahan untuk membentuk visual.
“Seni e-sisa menggunakan konsep seni kolaj yang boleh diolah kepada pelbagai tema seni termasuk figuratif dan landskap.
“Oleh itu, kreativiti penting untuk menyusun bahan dan membentuk pelan visual,” jelasnya.
Berkongsi tentang cabaran seni e-sisa, anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, antara cabaran yang dihadapi dalam proses penghasilan karya adalah akses sumber bahan bersesuaian dengan visual.
Selain itu, proses teknikal lain seperti membersihkan sisa bahan, memotong dan mengolah bahan untuk mendapatkan komposisi yang mampu menggambarkan visual dengan jelas.
Berhubung manfaat e-sisa pula, Nor Tijan berpandangan, dengan menggunakan bahan e-sisa, sumbangannya tidaklah terlalu besar kepada alam sekitar.
Ini kerana, hanya beberapa individu yang berusaha memberi kesedaran kepada masyarakat akan kepentingan menjaga alam sekitar dengan cara mendidik mereka melalui seni visual dan karya seni.
“Dengan menghasilkan karya menggunakan bahan e-sisa ini, saya berharap para pemerhati dapat sedikit manfaat dan peka dengan isu alam sekitar, sekali gus bersama-sama menjaga serta menyumbang kepada kelestarian alam.
“Perancangan saya pada masa akan datang adalah terus menghasilkan karya menggunakan bahan e-sisa.
“Ini bagi membolehkan masyarakat terus berfikir serta mendapat sedikit maklumat dan pembelajaran berdasarkan pemerhatian mereka,” ujarnya.
Katanya lagi, dia berharap agar karyanya dapat memainkan peranan dalam perkembangan seni visual tanah air dan terus diterima oleh masyarakat.














