PETALING JAYA – Barang yang disita dalam rumah pelakon sensasi Rozita Che Wan atau Che Ta yang bernilai tidak sampai RM100,000 akan dilelong dalam masa terdekat.
Hari ini, rumah Che Ta telah diserbu pihak Majlis Amanah Rakyat (Mara) untuk menyerahkan writ dan penilaian barangan di kediaman tersebut.
Kata peguam Mara yang enggan dikenali, pihak Mara akan terus melakukan pengambilan barangan pada petang ini juga dan akan melakukan lelongan barangan sita dalam masa terdekat.
“Buat masa ni nilai barangan masih tidak mencukupi, Mara akan lakukan lelongan dalam tempoh terdekat, mungkin dalam tempoh dua minggu.
“Pihak kami akan tunggu perintah mahkamah, jika ada rundingan. Kebanyakan barang yang disita hari ini adalah barangan rumah sahaja,” katanya.
Terdahulu, serbuan dikhabarkan dilakukan oleh pihak Mara ke kediaman Che Ta di Kota Damansara setelah pelakon tersebut tidak membayar hutang pinjaman dari agensi itu berjumlah hampir RM1 juta.
Ketika serbuan dibuat pagi ini, hanya kelibat ibu pelakon tersebut sahaja yang ada mendiami rumah mewah di Kota Damansara itu.
Manakala salah seorang anak pelakon itu tiba selepas satu jam pihak Mara memasuki rumah tersebut. – KOSMO! ONLINE