fbpx
Azlan menjadi pereka fesyen tradisional pilihan bagi ramai selebriti antaranya Rozita Che Wan dan Mas Idayu.

Ghazlan terus angkat busana tradisi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEANGGUNAN busana klasik sememangnya tidak dapat dinafikan. Biarpun banyak pakaian moden muncul di pasaran, pakaian tradisi masih terus menjadi pilihan untuk digayakan untuk apa jua acara.

Menyedari hakikat itu, seorang pereka fesyen kelahiran Muar, Johor mahu namanya dikenali sebagai antara pereka yang terus menaikkan busana dengan elemen tradisi.
Norazlan Mokhtar atau lebih mesra disapa Azlan menerusi label Ghazlan selesa mengetengahkan busana klasik yang menurutnya cukup cantik dan sopan apabila digayakan.

Bahkan, Azlan juga menjadi pereka fesyen pilihan bagi golongan selebriti terkenal tanah air, antaranya Mas Idayu, Azharina Azhar, Nasha Aziz, Rita Rudaini dan Rozita Che Wan.

Bercerita tentang permulaan kerjaya sebagai pereka fesyen, Azlan memberitahu bahawa nama Ghazlan yang dipilih itu berasal daripada perkataan bahasa Arab yang membawa maksud tenunan.

“Idea menggunakan label Ghazlan ini datang daripada bapa saudara yang kebetulan ketika itu baru pulang daripada menunaikan ibadah umrah.

“Ujar bapa saudara, ghazlan merujuk kepada tenunan dan kebetulan nama itu juga ada kaitan dengan nama saya iaitu Azlan, maka saya bersetuju memilih Ghazlan sebagai nama label saya,” katanya.

AZLAN

Ujar Azlan, dia cukup sukakan konsep pakaian tradisional memandangkan pakaian tersebut sentiasa kekal relevan dan sesuai digayakan sepanjang zaman.

Biarpun adakalanya busana yang dihasilkan itu diolah dan diberi sentuhan peribadi, Azlan sentiasa berhati-hati kerana tidak mahu elemen tradisi itu ‘lari’ atau hilang sepenuhnya.

“Sebelum mengolah pakaian yang dihasilkan untuk klien, saya akan melihat sejarah pakaian tersebut.

“Sebagai contoh, sekiranya klien meminta saya mengolah pakaian tradisional Puteri Perak, saya mahu elemen asal itu dikekalkan kerana walaupun selepas diolah, saya mahu orang masih tahu dan kenal bahawa hasil akhir saya itu adalah sepasang busana klasik Puteri Perak,” kongsinya.

Baginya, tidak perlu berlebih-lebihan. Azlan cukup berpegang pada konsep busana biarpun ringkas, namun tetap perlu kelihatan cantik.

Selain banyak menghasilkan busana klasik, kekuatan Azlan juga terletak pada kebolehannya menyiapkan sepasang pakaian dalam tempoh kurang tiga jam.

Bahkan, Azlan juga sebelum ini banyak menghasilkan pakaian untuk kumpulan penari kebudayaan yang lazimnya ditempah dalam kuantiti yang banyak.

“Biasanya, jumlah baju yang perlu disiapkan bagi sebuah kumpulan penari kebudayaan adalah sekitar 20 hingga 30 pasang.

“Bagi pakaian sebegini, saya biasanya akan mengambil masa sekitar lima hari untuk menyiapkan semuanya.

“Ini kerana buat masa ini, saya bergerak secara solo dan semua tempahan yang diterima disiapkan sendiri tanpa bantuan sesiapa,” katanya.

Azlan berkata, minatnya terhadap jahitan timbul sejak kecil, memandangkan ibunya cukup mahir menjahit dan dia banyak belajar teknik jahitan daripada ibunya.

Namun, bekas pekerja dalam bidang insurans itu nekad meninggalkan kerjayanya untuk menjadi pereka fesyen selepas sehelai dres yang dijahit buat majlis makan malam kakaknya mendapat pujian ramai.

“Baju pertama yang saya hasilkan adalah sepasang dres malam buat kakak yang ketika itu perlu menghadiri sebuah acara makan malam pada tahun 2007.

“Baju tersebut mendapat pujian ramai dan susulan daripada itu saya nekad untuk berhenti kerja dan mula menceburi bidang rekaan fesyen secara serius,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN