KLUANG – Seorang pemuda berusia 20 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh ibu kandungnya pada 4 Disember lalu.
Tertuduh, Mohammad Hariez Farhan Masrudin yang kelihatan tenang hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.
Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang juga penganggur didakwa membunuh ibunya, Zarina Jaafar, 47 pada pukul 10.45 pagi hingga 12 tengah hari, 4 Disember lalu di sebuah rumah di Felda Ayer Hitam di sini.
Anak ketiga daripada lima beradik itu didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun. Jika tidak dihukum mati, hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurfara Fazilun Izylin Ahmad, manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sebutan semula kes ditetapkan pada 4 Februari 2025.-KOSMO! ONLINE