BERJARAK waktu lebih 10 tahun selepas Penglipur Lara, penantian Hazama berakhir apabila album kedua yang dinantikan berjaya menemui peminat. Dilancarkan akhir November lalu, album yang diberi nama Pujangga itu mengandungi 10 buah lagu.
Berbeza dengan album pertam, kali ini Hazama tampil dengan kekuatan dan kematangan tersendiri apabila diskografi tersebut lahir daripada label miliknya, Hazamaworks Sdn. Bhd. dengan kerjasama Silent Kaiju Studio.
Kata Hazama atau nama lengkapnya Hazama Ahmad Azmi, proses pembikinan album tersebut bergerak sejak Ramadan tahun lalu.
Bagaimanapun, secara congak pembikinan Pujangga hanya mengambil masa kira-kira tiga bulan.
“Memang sudah lama saya ingin menerbitkan album sendiri, tetapi waktu itu belum memperoleh karya yang berkualiti untuk dijadikan album.
“Tetapi sekarang saya berasakan penantian tempoh jangka masa yang lama itu berbaloi. Jadi bagi saya ini adalah salah satu langkah untuk mempersiapkan diri mengadakan konsert.
“Boleh dikatakan, tujuan saya menerbitkan album ini kerana ingin mengadakan konsert. Saya berharap agar impian untuk mengadakan konsert solo pada tahun depan akan terlaksana,” katanya bersungguh-sungguh.
Konsert solo
Dalam usaha merealisasikan impian untuk mengadakan konsert solo, Hazama terlebih dahulu ingin memastikan setiap karya dalam albumnya dapat diterima peminat.
Baginya pengalaman hampir 20 tahun bergelumang dalam dunia seni tentu sahaja membuatkan gelora jiwanya sebagai penyanyi terus berombak deras.
“Memang sebelum ini saya pernah mendapatkan tawaran untuk mengadakan konsert solo, tetapi masih belum bersedia kerana bagi saya, hanya ada beberapa lagu saja yang popular.
“Lagi pun konsert selalunya memakan masa sekitar dua hingga tiga jam. Mustahil untuk saya hanya menyanyikan lagu orang lain sahaja.
Sekiranya saya berbuat begitu, bimbang nanti akan wujud perbandingan dengan penyanyi asal.
“Kalau ikutkan hati, memang saya hendak buat untung, tetapi tidak adil bagi bagi peminat yang sudah mengeluarkan duit. Saya pula sebagai penyanyi tentulah ingin berikan yang terbaik buat peminat agar menjadi sesuatu yang bermakna,” terangnya penuh semangat.
Hazama yang meraikan ulang tahun kelahiran ke-40 pada 28 November lalu turut meluahkan hasrat agar impiannya konsert solonya akan terlaksana.
“Pada usia begini, alhamdulillah diberikan kesempatan lagi untuk menghasilkan album. Biarpun kadangkala ada rasa pancit (penat), tetapi begitulah perubahan usia kerana kita tidak sentiasa muda.
“Mengadakan konsert solo adalah hadiah terbesar dan memang menjadi impian. Kalau boleh memang saya mahu segera, tetapi sabar dahulu kerana biar saya dapat kumpul banyak lagu hit dan barulah boleh membuat persembahan sepanjang tiga jam,” katanya.
Dokumentari
Membuktikan kesungguhan dalam berkarya, Hazama mengabadikan setiap penat lelah menghasilkan album Pujangga dalam sebuah dokumentari.
Dokumentari tersebut menjadi bukti sekali gus bahan rujukan kepada generasi akan datang tentang cara ‘orang lama’ menghasilkan album.
“Zaman sekarang ini semua benda sudah ada teknologi, begitu juga dengan muzik. Tambahan kehadiran AI (kecerdasan buatan) juga sudah mewujudkan landskap baharu dalam penghasilan lagu.
“Disebabkan itu saya ingin merakam sepanjang proses pembikinan album Pujangga agar dapat dijadikan sebagai rujukan.
“Mungkin tidak untuk tempoh dua atau tiga tahun ini, tetapi dokumentari ini akan menjadi bahan sejarah 10 hingga 20 tahun akan datang.
“Waktu itu mereka akan melihat dan mengetahui bagaimana artis dahulu seperti Datuk M. Nasir, Wings dan Search merakam lagu.
“Untuk Pujangga saya menggunakan kaedah lama iaitu memanggil pemuzik merakam satu demi satu bunyi sebelum disusun menjadi melodi.
“Jadi proses rakaman itu agak lama kerana kita sentiasa berbincang dan bertanyakan tentang kemampuan dan kemahiran masing-masing,” jelasnya.
Dokumentari tersebut masih dalam peringkat suntingan akhir sebelum ditayangkan dalam platform penstriman.
‘Pecat’ isteri
Terus rancak bercerita tentang kerjaya muzik, Hazama tidak menafikan kehadiran isteri, Genervie Kam di sampingnya sepanjang tempoh pembikinan album antara yang menguji kesabaran.
Biarpun bergelar pasangan suami isteri, namun ada beberapa perkara yang sukar untuk mendapat kata sepakat. Boleh dikatakan ada sahaja ‘drama’ antara mereka demi memberikan hasil yang terbaik.
Dalam nada berseloroh, Hazama sambil melepaskan ketawa kecil sambil memberitahu akan mengambilkan ‘tindakan disiplin’ ke atas isterinya kerana kerap mencetuskan berdebatan.
“Kalau bukan kerana dia isteri, memang sudah lama saya pecat. Ada sahaja perkara yang ingin dia bangkang. Tetapi, saya faham kerana masing-masing mempunyai sudut padangan berbeza.
“Dia seorang pemuzik yang mempunyai pengetahuan dan berpendidikan, sedangkan muzik saya lebih kepada rasa dan pengalaman. Jadi, tentu ada bahagian percanggahan pendapat,” ujarnya.
Namun, Hazama bersyukur kerana pertikaian tentang penghasilan album tidak menjejaskan hubungan suami isteri, jauh sekali saling bermasam muka hanya untuk menegakan pandangan.
“Alhamdulillah saya dan isteri tidak bergaduh. Cuma sesekali, memang ada perdebatan dalam perbincangan,” tutupnya.