PETALING JAYA – Prihatin nasib mangsa banjir di Kelantan, pelakon Datin Fouziah Gous bersama pasukan Tengkujuh Ranger Rauhah turun padang bagi menyalurkan sumbangan barangan keperluan kepada penduduk yang terjejas.
Memasuki hari kedua misi bantuan, Fouziah atau nama lengkapnya Nor Fouziah Mohd. Gous, 41, mengharapkan barangan keperluan tersebut dapat diagihkan kepada penduduk di tiga buah kampung di Machang.
“Hari ini masuk hari ke dua, kalau boleh kita ingin pergi ke tiga kampung yang terjejas teruk akibat banjir iaitu Kampung Kok Kiak, Kampung Limau Nipis dan Kampung Ayer Merah.
“Kalau boleh kami ingin memastikan lori yang membawa barangan sumbangan tidak akan membawa pulang apa-apa kerana kami ingin pastikan setiap sumbangan dapat sampai dengan selamat kepada mangsa.
“Ini adalah tanggungjawab besar buat kami dan diharapkan agar kalian dapat mendoakan agar misi bantuan ini berjaya. Walaupun perancangan dibuat pada saat akhir iaitu selama dua hari, tetapi alhamdulillah Allah permudahkan segala urusan dan terima kasih juga kepada anggota sukarelawan yang membantu,” katanya dalam sebuah Instagram.
Pada masa sama, pelakon filem 2 Hati 1 Jiwa itu turut berkongsikan persediaan yang dilakukan Tengkujuh Ranger Rauhah bagi mengagihkan sumbangan yang dapat meringankan beban 149 buah keluarga terjejas akibat banjir di sosial media.
Dalam pada itu, Fouziah turut berharap agar masyarakat dapat mendoakan kesejahteraan mangsa agar diberikan kekuatan dan kesabaran saat diuji dengan musibah banjir.
“Saya mengharapkan agar kalian mendoakan agar misi bantuan ini lancar. Doakan agar cuaca juga dalam keadaan baik dan mendoakan semoga mereka yang ada di sini tidak duduk dalam ketakutan.
“Apabila hujan saja, mereka mula berasa takut dan bimbang. Sejujurnya saya sendiri pun berasa bimbang dan takut apabila setiap kali hujan. Saya mendoakan semua yang terkesan akan pulih sepenuhnya. Pulih semangat untuk bangkit kembali,” katanya.
Terdahulu, Fouziah bersama anggota sukarelawan memberikan sumbangan barangan keperluan asas seperti makanan, pakaian, tuala wanita, lampin kanak-kanak, tuala, pakaian dalam wanita dan wang tunai di empat buah kampung di Tumpat, Kelantan.
Antara lokasi terlibat ialah Kapung Naga Ibu, Kampung Sawa Luar, Kampung Sawa Dalam dan Kampung Kuala Jambu. – KOSMO! ONLINE