fbpx
Tina tidak dapat membayangkan bagaimana nasib rumah tangganya kelak apabila mengetahui bakal suaminya itu seorang ‘anak emak’ yang keterlaluan. – Gambar hiasan

Dilema bakal kahwin dengan ‘anak mak’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

“SAYA tidak mahu jadi orang ketiga dalam hubungan antara ibu dan anak ini,” luah Tina (bukan nama sebenar) kepada Panorama dalam keadaan kesal.

Tina dan tunangnya, Zamani (bukan nama sebenar) berkenalan di aplikasi cari jodoh dan bakal mendirikan rumah tangga pada Januari tahun hadapan.

Sepanjang tempoh percintaan mereka, Zamani memiliki kesemua ciri-ciri dalam diri seorang bakal suami yang diidam-idamkan Tina selama ini.

Namun, sisi ‘red flag’ Zamani sebagai anak lelaki tunggal keluarganya muncul semasa mereka melakukan persediaan perkahwinan.

Tina dapati setiap pendapat tentang butiran perkahwinan mereka perlu mendapat persetujuan ibu Zamani terlebih dahulu.

Perkara paling memberi kesan adalah apabila Zamani sanggup menengkingnya ketika sesi memilih persalinan perkahwinan.

Ujar Tina, semuanya kerana dia berdegil dan mahu buat keputusan bercanggah dengan kemahuan bakal ibu mentuanya.

“Sebagai seorang wanita, sudah pasti saya ada perkahwinan impian dengan butiran-butiran yang saya mahu realisasikan.

“Alangkah terkejutnya saya apabila Zamani meninggikan suara kerana ia tidak selari dengan apa yang diidamkan ibunya.

“Dia cakap, ibunya sudah ada menyimpan hasrat tentang perkahwinan mereka kerana dia satu-satunya anak lelaki tunggal ibunya itu,” katanya.

Bukan sahaja soal perkahwinan, malah tempat mereka pergi berbulan madu juga memerlukan persetujuan ibunya.

Ibunya tidak mahu mereka bercuti di luar negara kerana akan memakan belanja yang banyak berbanding lokasi percutian dalam negara.

Bahkan, ibunya juga hanya membenarkan mereka berbulan madu selama tiga hari kerana enggan terlalu lama berenggang dengan anaknya itu.

Lebih teruk lagi, Zamani menggunakan ungkapan ‘syurga di bawah tapak kaki ibu’ setiap kali Tina membangkitkan isu dirinya dan ibunya.

Ibunya juga seakan-akan cemburu apabila Zamani mula menunjukkan kecenderungan untuk bersetuju dengan cadangan Tina.

Jelas wanita berusia 27 tahun tersebut, dirinya berasa sesak kerana membayangkan nasibnya selepas ikatan perkahwinan terlunas nanti.

“Saya takut bahawa setiap keputusan, setiap hujah dan setiap peristiwa penting dalam perkahwinan ini nanti akan melibatkan ibunya.

“Tiba-tiba, saya rasa bagaikan tidak berkahwin dengan seorang bakal ketua keluarga memandangkan Zamani tidak ada pendirian sendiri,” jelasnya.

Dengan berbaki kurang sebulan sahaja lagi, wanita yang bekerja sebagai guru sekolah rendah itu mula merasakan dirinya dalam dilema.

Membatalkan perkahwinan pada saat-saat akhir bukan sahaja ibarat menconteng arang ke muka ibu bapanya, malah mereka boleh disaman.

Kad jemputan, dewan perkahwinan, baju pengantin dan sebagainya sudah tersedia dan dirinya hanya menghitung hari.

Bukan tidak pernah dia mengadu pada keluarganya, namun mereka memarahinya kembali kerana berfikiran negatif.

Kini Tina akui, dirinya sangat tertekan kerana apapun keputusannya, ia akan memberi impak terhadap hidupnya kelak.

“Ditelan mati emak, diluah mati bapa. Begitulah situasi saya. Seharusnya saya bahagia dan tersenyum menjelang hari bahagia.

“Tetapi kini saya berendam air mata memandangkan apapun keputusan saya, pasti ada akibat yang perlu saya tanggung,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN