KOTA BHARU – Semua keperluan aset dan logistik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia untuk digerakkan bagi menghadapi gelombang kedua banjir di Kelantan yang dijangka bermula esok.
Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, aset itu melibatkan sebanyak 62 buah bot, 46 buah trak pikap, 12 buah lori, sembilan kenderaan unit bantuan perkhidmatan kecemasan (EMRS) dan helikopter.
Menurutnya, selain itu, seramai 1,393 pegawai termasuk anggota bomba termasuk bomba bantuan dan bomba sukarela yang menjalankan tugas sepanjang banjir yang berlaku di Keantan.
“Persiapan untuk menghadapi gelombang seterusnya banjir sudah memadai dan teratur. JBPM sudah bersiap sedia bagi menghadapi gelombang kedua banjir.
“Sebanyak lapan lokasi penempatan pasukan bomba di Kelantan iaitu di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP), Pengkalan Kubor, Wakaf Bharu, Tumpat, Machang dan Kuala Krai,”katanya pada sidang akhbar ketika Program Lawatan Turun Padang Operasi Banjir Monsun Timur Laut (MTL) Kelantan di Ibu Pejabat Balai Bomba dan Penyelamat Kelantan, Tunjong di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE