KOTA BHARU – Jumlah mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kelantan terus menurun kepada 6,842 orang hari ini berbanding 22,558 pada semalam.
Portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) melaporkan, kesemua mangsa yang terdiri daripada 2,068 keluarga itu ditempatkan di 16 buah PPS di tiga buah daerah.
Menurutnya, daerah Tumpat masih mencatatkan jumlah mangsa paling ramai dengan 5,633 orang daripada 1,703 keluarga diikuti Pasir Mas iaitu seramai 1,187 orang.
“Di Kuala Krai pula, seramai 22 mangsa daripada tujuh keluarga masih berada di sebuah PPS di Sekolah Kebangsaan Sri Mahligai,” katanya.
Sementara itu, laman web Public Info Banjir melaporkan, Sungai Golok di Rantau Panjang berada pada paras waspada, namun menunjukkan trend menurun. – KOSMO! ONLINE