IPOH – Siasatan kes bunuh melibatkan pelajar tingkatan lima, Muhammad Zaharif Affendi Muhd. Zamrie pada 15 Disember 2023 pada mulanya disiasat mengikut kesalahan lalu lintas.
Bagaimanapun, setelah penelitian dilakukan, kertas siasatan itu diambil alih oleh Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh pada 16 Disember 2023.
Saksi pendakwaan ke-27, Deputi Superintenden Mohd. Zulkefli Mohd. Mukhtar, 51, berkata, kertas siasatan itu terlebih dahulu dibuka oleh Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Jong Pit Chao.
Ia kemudian diambil alih BSJD dengan siasatan dikendalikan Asisten Superintenden (ASP) Chua Sze Chuan atas arahan Ketua Polis Daerah Ipoh.
Katanya, kertas siasatan itu kemudian diambil alih oleh ASP S. Dasarathan pada 18 Disember 2023 sebagaimana arahan Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan dan Perundangan).
“Kertas siasatan itu diambil alih ASP Dasarathan selepas arahan tuduh dan arahan-arahan lanjut penyiasatan diterima daripada pihak Timbalan Pendakwa Raya.
“Siasatan bagi kes ini juga dibantu oleh dua pegawai penyiasat awal iaitu Inspektor Pit Chao dan ASP Sze Chuan,” katanya ketika membacakan penyataan saksi pada prosiding perbicaraan kes bunuh Muhammad Zaharif di Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Menurut Mohd. Zulkefli yang juga Ketua BSJD Ipoh, selain bertanggungjawab menyelia kertas siasatan tersebut, beliau juga mewujudkan pasukan petugas khas (task force) untuk memastikan siasatan dilengkapkan dan dikemaskini.
Selain itu, beliau turut membantu pegawai penyiasat seperti membuat rampasan pakaian tertuduh melalui Jabatan Penjara Malaysia di Penjara Taiping pada 19 Disember 2023.
“Rampasan membabitkan sepasang seluar dan baju tertuduh yang diguna dan dipakai pada hari kejadian sebelum diserahkan kepada ASP Dasarathan pada hari sama,” katanya.
Sementara itu, ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz, Mohd. Zulkefli telah mengecam Mohd. Nazri yang berada di kandang tertuduh dan pakaian yang diambilnya berupa baju T berwarna putih dan seluar panjang paras lutut berwarna hitam.
Dalam pada itu, ketika ditanya peguam bela Datuk Mior Faridalathrash Wahid mengapa rampasan pakaian tidak dibuat pada hari kejadian, saksi memberitahu pada peringkat awal siasatan dijalankan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT).
Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Bhupindar Singh Gurcharan Singh Preet disambung pada Isnin depan. – KOSMO! ONLINE