TUMPAT – Sebanyak empat rumah, dua kedai makan dan sebuah kedai runcit sepanjang Jalan Jubakar Pantai di sini runtuh selepas dibawa arus deras banjir pada Jumaat lalu.
Kejadian turut menyebabkan jalan tersebut pecah dan terputus kepada tiga bahagian, sekali gus menyebabkan kini ditutup untuk semua jenis kenderaan.
Pemilik salah sebuah rumah yang runtuh, Che Kar Nik Mat, 60 berkata, kejadian itu begitu mengejutkan kerana tidak menyangka arus banjir limpahan air Sungai Golok itu sangat deras meskipun sudah berdepan bencana tersebut sejak 30 tahun lalu.
Ujarnya, yang bekerja sebagai buruh binaan, seramai 15 ahli keluarganya berada di dalam rumah ketika kejadian
“Ia berlaku ketika maghrib apabila air mula melimpah ke atas jalan. Ketika itu, saya ajak anak-anak membuat benteng menggunakan guni-guni pasir bagi elak air memasuki rumah.
“Bagaimanapun, air semakin deras dalam masa dua jam sebelum sebelah dinding rumah saya roboh dilanda arus deras.
“Kami sekeluarga keluar rumah sehelai sepinggang dan tidak sempat menyelamatkan apa-apa barangan,” katanya.
Che Kar memberitahu, pasukan polis tiba untuk menyelamatkan mereka sekeluarga kira-kira pukul 9 malam.
Ujarnya, keesokan paginya dia datang menjenguk rumah sebelum mendapati kereta yang digunakan untuk membantu mangsa-mangsa banjir berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) sudah tersadai di tepi rumah.
“Pada hari kejadian, saya telah melihat sendiri air melimpah dari bawah tanah sebelum melintasi jalan raya. Saya tidak terlintas keadaan boleh menjadi seteruk ini,” ujarnya.














