MALLORCA – Barcelona kembali mengukuhkan cengkaman di tangga teratas La Liga selepas menewaskan Real Mallorca 5-1 pada aksi La Liga awal pagi semalam sekali gus meraih kemenangan pertama dalam empat perlawanan.
Pada aksi di Stadium Son Moix itu, skuad The Catalans meraih gol-gol menerusi dua jaringan Raphinha dan satu daripada Ferran Torres, Frenkie de Jong serta Pau Victor.
Raphinha selaku kapten mengakui cukup lega apabila dapat memastikan pasukan kembali berada di landasan kemenangan dan berharap mampu mengekalkan prestasi lebih konsisten selepas ini.
“Saya sangat gembira dengan prestasi peribadi kerana berjaya menjaringkan dua gol pada perlawanan kali ini. Secara peribadi, saya berada pada kemuncak karier dan harap dapat memberikan segalanya buat Barcelona.
“Namun, kejayaan ini bukanlah berpunca daripada saya semata-mata kerana pemain lain juga menyerlah seperti De Jong. Kami bangga apabila dia kembali berada pada prestasi terbaik kerana dia juga salah seorang kapten pasukan,” katanya.
Sementara itu, pengendali Barcelona, Hansi Flick menganggap kehadiran semula Lamine Yamal dalam kesebelasan utama menjadi tonik penting buat pasukan meraih tiga mata pada perlawanan tersebut.
“Yamal telah memberi aura berbeza di atas padang dan dia sepatutnya boleh menjaringkan gol buat pasukan. Apa yang pasti, semua pemain telah memberikan seratus peratus di atas padang,” katanya. – AGENSI