BATIK merupakan seni warisan yang mempunyai pesonanya yang tersendiri.
Malah, sifatnya yang malar segar dan tak lapuk ditelan zaman menjadikan tekstil itu sentiasa menjadi pilihan untuk digayakan.
Justeru, bagi mengangkat seni batik Malaysia ke peringkat yang lebih tinggi, Malaysian Heritage Showcase (MHS) 2024 menganjurkan sebuah pertunjukan fesyen batik yang digayakan sebagai sari.
Pakaian tradisional kaum India yang dihasilkan daripada tekstil batik itu menyerlah gabungan dua elemen warisan dan budaya yang cukup bermakna.
Pertunjukan fesyen yang berlangsung baru-baru ini di The Toffee, Kuala Lumpur itu mengetengahkan konsep ‘6 Yards of Beauty’. Ia menampilkan batik sebagai tekstil yang mampu menghasilkan pelbagai jenis fesyen mengikut kreativiti pereka.
Presiden Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PPPFM), Bkay Nair memberitahu, batik yang digunakan pada pertunjukan fesyen itu adalah hasil kerja tangan banduan dari empat buah penjara di Malaysia iaitu Penjara Marang, Pangkalan Chepor, Kajang dan Machang.
Kerjasama itu memberikan peluang bermakna kepada penghuni penjara untuk membangunkan kemahiran, mengekspresikan kreativiti dan memperkasakan diri mereka.
Inisiatif tersebut juga mencerminkan visi lebih luas Bkay dan persatuannya dalam memupuk inklusiviti dan mencipta peluang pemulihan melalui seni serta kraf.
Ujar pelakon dan bekas ratu cantik itu lagi, kerja tangan batik yang dihasilkan oleh banduan mempunyai nilai seni yang sangat tinggi, sekali gus memberikan tarikan tambahan pada pertunjukan tersebut.
Untuk makluman, Bkay merupakan individu yang bertanggungjawab menggabungkan sari dengan batik.
“Pemilihan batik sebagai tekstil utama dalam pertunjukan fesyen MHS 2024 bukanlah satu keputusan yang diambil secara sembarangan.
“Batik dengan pelbagai corak dan warna yang mempesona mampu menghasilkan pelbagai jenis pakaian serta potongan fesyen kreatif.
“Fesyen tidak lagi terhad kepada pakaian tradisional, tetapi batik kini semakin diterima dalam rekaan moden yang boleh digayakan dalam pelbagai majlis, baik formal mahupun santai.
“Dalam konteks ini, saya dan pereka lain menampilkan pelbagai rekaan seperti baju, gaun dan tentu sekali sari yang boleh digayakan dalam majlis khas mahupun untuk tujuan komersial,” ujarnya.
Sebanyak 33 koleksi busana batik sari dipersembahkan dengan penuh kreatif, sekali gus menyerlah lagi estetika budaya pada setiap busana.
Pengenalan batik sari dan usaha inklusif dalam acara itu telah menunjukkan bagaimana warisan dapat dipelihara, dibayangkan semula serta dikongsi dengan dunia dalam cara lebih bermakna.
Dalam perkembangan lain, Bkay memberitahu, dia sedang dalam perancangan untuk menerbitkan sebuah filem dokumentari mengenai seni batik, yang mana penerbitannya akan dibuat sekitar tahun depan.
“Saya dan pasukan merancang untuk menerbitkan sebuah dokumentari dengan menampilkan pembatik di seluruh negara untuk bercerita tentang tekstil ini.
“Banyak kisah menarik mengenai batik, termasuk disiplin dalam menghasilkannya, rekaan dan jenis batik serta warna yang digunakan bagi menghasilkan tekstil ini.
“Malah, ada yang kita sendiri tidak tahu seperti batik jenis eksperimental yang dihasilkan mengikut mood tukang canting batik, serta bahan organik yang digunakan untuk lukisan tekstil,” katanya.














