BATU PAHAT – Hasrat sebuah keluarga untuk bersarapan dengan telur ayam rebus terbantut selepas kediaman disewanya bersama enam keluarga lain musnah dalam kebakaran di Kampung Parit Semarang di sini awal pagi tadi.
Mangsa, Nur Haliza Hisham, 24, berkata, kejadian pukul 8.15 pagi itu berlaku selepas api secara tiba-tiba keluar daripada getah saluran gas di dapur rumahnya dan gagal dipadamkan akibat terlalu panik.
Katanya, usaha mendapatkan bantuan daripada adik lelakinya juga menemui jalan buntu dan akibatnya 33 mangsa dari tujuh buah rumah yang dibina sederet itu musnah dalam kebakaran serta tinggal sehelai sepinggang.
“Ketika kejadian saya sedang merebus telur untuk digunakan sebagai sarapan dan dalam masa sama membuat kerja rumah yang lain sebelum melihat api keluar dari getah saluran gas.
“Dalam kepada takut, saya kejutkan adik (Hafiz, 20) untuk memadamkan api namun ia cepat merebak seterusnya menyambar bumbung rumah,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.
Dalam pada itu, Hafiz pada mulanya menggunakan kain basah untuk memadamkan api namun tidak berjaya sebelum menggunakan lapan alat pemadam api namun gagal.
Seorang lagi mangsa, Muhammad Aaron Laurai, 36, berkata, selepas menyedari kejadian itu, dia terlebih dahulu mengejutkan isteri serta anak perempuannya yang sedang tidur.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semarang, Samsolbari Jamali ketika dihubungi berkata, semua mangsa kini ditawarkan tempat tinggal sementara di Balai Raya Bukit Kuari.-KOSMO! ONLINE