SEGAMAT – Dua daerah di Johor dilanda banjir sejak semalam menyebabkan 425 mangsa daripada 127 keluarga berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Tangkak dan Segamat.
Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Azmi Rohani berkata, sehingga pukul 12 tengah hari tadi, sebanyak sembilan PPS dibuka di dua daerah berkenaan.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, Tangkak merekodkan jumlah mangsa bah tertinggi seramai 302 orang.
Di Tangkak, sebanyak tiga PPS dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Rahmat yang menempatkan 167 mangsa yang merupakan penduduk Kampung Parit Bengkok.
SK Abdullah menempatkan 46 mangsa, Sekolah Agama Bandar (89) sementara di Segamat, enam PPS dibuka di Balai raya Kampung Paya Lebar (13), Balai raya Kampung Bukit Tunggal (10), Balai raya Kampung Jabi (8), Balai raya Kampung Batu Badak (40), Dewan Komuniti Tasek dan Balai Raya (40) dan Balai raya Kampung Awat (12).
Azmi berkata, sebanyak tiga sungai di Johor melepasi paras bahaya iaitu Sungai Tangkak di Kampung Seri Ma’amor pada paras 4.32 meter (m) berbanding paras bahaya 4m seterusnya Sungai Lenik, Batu Pahat (6.5m) dan Sungai Kahang, Kluang (14.77m).
Selain itu, empat sungai berada pada paras amaran iaitu Sungai Muar, Buloh Kasap (8.54m), Sungai Kesang Tangkak (3.12m) Sungai Muar, Jeti Kampung Tekam ( 3.69m) dan Sungai Tebrau di Johor Bahru (3.12m). – KOSMO! ONLINE