KANGAR – Gara-gara percaya dengan khabar angin, sepasang suami isteri tidak mendaftarkan kelahiran tiga anak kerana bimbang dikenakan denda yang tinggi serta takut hilang hak penjagaan ke atas cahaya mata mereka itu.
Pembantu kedai, Norhayati Mustaffa, 32, berkata, dia tidak mendaftarkan kelahiran anak sulungnya yang kini berusia 11 tahun kerana kehilangan sijil nikah sehingga tamat tempoh 60 hari.
“Selepas tamat tempoh itu, orang kata, kami akan didenda sehingga RM2,000 kerana lambat mendaftarkan anak. Lebih teruk, mereka akan ‘merampas’ hak penjagaan anak jika gagal bayar,” katanya di sini semalam.
Dia ditemui selepas menerima sijil kelahiran tiga anaknya daripada Pengarah Jabatan Pendaftaran negeri, Madihah Muhammad di rumahnya di Kampung Abi Padang Machang, di sini semalam.
Tiga anaknya ialah Muhammad Farqan Azree Syful Azmeer, 4, Ainul Mardhiyyah, 9, dan Muhammad Adam Ramadan, 11.
Kata Norhayati, pada waktu itu dia hanya bekerja sebagai pembantu kedai bergaji RM30 sehari, manakala suaminya merupakan pekerja rencam dan tidak mampu membayar jumlah denda tersebut.
“Disebabkan terpengaruh dengan khabar angin itu kami buat keputusan tidak mendaftar kelahiran dua lagi anak kerana bimbang akan terpisah dengan mereka,” ujarnya.
Dalam tempoh lebih 10 tahun itu, ketiga-tiga anak Norhayati tidak bersekolah dan mereka hanya mendapat pendidikan tidak formal daripada seorang penduduk kampung yang menawarkan diri untuk mengajar anak-anaknya mengaji al-Quran dan membaca.
Norhayati berkata, selepas dimaklumkan kenalan bahawa denda dikenakan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) hanya RM50 bagi satu kes, dia kemudiannya ke jabatan pendaftaran negeri pada Oktober lalu bagi proses pendaftaran kelahiran anak-anak.
“Alhamdulillah, syukur kerana akhirnya pihak JPN menyerahkan sijil kelahiran untuk semua anak. Selepas ini, saya akan segera mendaftarkan mereka ke sekolah untuk membolehkan kesemuanya mendapat pendidikan sewajarnya seperti kanak-kanak lain,” jelasnya.














