KESAN lumpur masih ada sehingga kini walaupun hampir 10 tahun ia berlalu. Itu antara luahan mangsa bah kuning pada 2014 yang melanda hampir seluruh negeri Kelantan.
Keluarga penulis juga antara mangsa bencana tersebut dan setiap kali tiba musim tengkujuh atau kami panggil ‘bah’, pasti mimpi ngeri 2014 akan menghantui fikiran terutamanya buat ibu bapa penulis.
Manakan tidak, sewaktu kejadian hanya mereka berdua berada di kampung, sedangkan penulis dan tiga adik-beradik lain merantau ke luar negeri.
Ketika itu, hanya iringan doa dan perhubungan melalui telefon sahaja yang mampu kami lakukan dan kebetulan juga ketika itu isteri penulis baharu beberapa bulan melahirkan cahaya mata kedua.
Sedih, gusar, risau semua berada di dalam fikiran ketika itu, mahu pulang ke kampung semua jalan menuju ke Kelantan terputus hubungan. Hanya jasad berada di ibu kota, hati meronta-ronta mahu pulang melihat ibu bapa serta anak dan isteri.
Berdasarkan peristiwa 2014 lalu, kampung penulis yang berada di Kuala Krai antara daerah yang paling teruk terjejas.
Kampung penulis dinaiki air sehingga hampir mencecah aras tiga bangunan empat tingkat sebuah sekolah, jadi boleh bayangkan betapa dalamnya banjir tersebut.
Rumah keluarga penulis dua tingkat pula hanya nampak bumbung, kebanyakan barangan dalam rumah tidak dapat diselamatkan. Hanya dokumen penting dan sebuah televisyen sahaja yang berjaya dibawa ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Begitulah besarnya ujian yang dialami penduduk kampung dan seluruh penduduk Kelantan kira-kira 10 tahun lalu dan mengikut ramalan keadaan sama akan berulang lagi pada tahun ini.
Ini kerana, memetik laporan media sebelum ini, Exco Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita Kelantan, Rohani Ibrahim berkata, negeri ini dijangka akan mengalami banjir besar pada tahun ini.
Malah katanya, sebagai persediaan, Kerajaan Kelantan telah menambah bilangan PPS dan semua agensi yang terlibat dengan pengurusan bencana telah dipanggil untuk sesi taklimat.
“Mengikut jangkaan setiap 10 sekali Kelantan akan dilanda banjir besar sepertimana tahun 2014 lalu.
“Bagaimanapun, kita berdoa supaya banjir besar tidak berlaku, namun persiapan ke arah itu perlu dilaksanakan,” katanya.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula menjangka Monsun Timur Laut dijangka bermula pada November dan berterusan sehingga Mac 2025.
Menurutnya sebanyak empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh tersebut.
Episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang antara November hingga Disember ini, manakala hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Johor, Sabah dan Sarawak bermula Disember hingga Januari.
Walaupun ini sekadar ramalan dan jangkaan, tetapi lebih baik kita bersiap sedia dari awal, sekurang-kurangnya dapat selamatkan barangan yang penting.
Walaubagaimanapun, penulis masih berharap agar ‘bah’ besar pada tahun 2014 tidak lagi kembali ke bumi Kelantan. Sama-sama kita doakan agar dijauhkan dari musibah ini.














