SAAT kenderaan penulis melintasi pintu kawalan di Pangkalan Udara Jugra, Banting, Selangor, perasaan bercampur baur mula menyelubungi diri.
Ada masanya, penulis berasa girang kerana berpeluang masuk ke salah satu pangkalan yang menempatkan anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Ini kerana, tidak semua orang boleh masuk ke situ.
Ada ketikanya, penulis berasa risau jika perlu menempuhi rejim latihan berat seperti yang dilalui oleh anggota tentera sepanjang dua hari satu malam berada di pangkalan tersebut.
Namun, kebimbangan tersebut hilang apabila pihak penganjur memberitahu bahawa penulis dan wakil media lain perlu menjalani aktiviti ketenteraan ala ‘sukaneka’ sahaja.
Selepas 24 jam berada di pangkalan tersebut, ternyata aktiviti yang dianggap seperti ‘sukaneka’ oleh anggota tentera itu merupakan satu tugas berat dan mencabar kepada orang awam seperti penulis.
Badan penulis rasa sakit-sakit selepas melalui beberapa rutin ketenteraan seperti menembak pada waktu tengah hari, mendaki dan menuruni Bukit Jugra, berlari halangan serta abseiling.
Itulah pengalaman unik yang dapat dirasai oleh penulis bersama 55 wakil media tempatan lain ketika mengikuti program Hari Bersama Media (HBM) Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef) bersama Unit Komunikasi Strategik (UKS) dan TUDM melalui Pasukan Khas TUDM (Paskau).
Objektif utama HBM adalah untuk meraikan serta menghargai petugas media yang sentiasa menyokong Mindef dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam memberikan liputan terbaik dan berterusan bagi mengekalkan imej kedua-dua pihak tersebut.
Menariknya, HBM pada kali ini tampil dengan sedikit kelainan apabila membawakan konsep Civil-Military Cooperation (CIMIC) iaitu kerjasama awam-tentera dalam mengukuhkan lagi hubungan media dengan Mindef.
HBM 2024 juga memberi peluang kepada para pengamal media mengenali Mindef, ATM, TUDM dan Paskau khasnya memandangkan semua aktiviti serta cabaran yang diatur merupakan rutin bagi seorang anggota tentera.
Antara aktiviti dan cabaran yang terpaksa dilalui oleh wakil media pada HBM adalah menembak menggunakan raifal dan pistol, mendaki Bukit Jugra, ikhtiar hidup, latihan rentas halangan, latihan menara abseiling dan memasak menggunakan rangsum tempur ATM.

Selain itu, wakil media didedahkan dengan demonstrasi menembak malam, demonstrasi High Angle Rescue oleh Paskau, demonstrasi Maritime Rescue oleh Paskau, pengalaman menggunakan Night Vision Goggles dan pameran peralatan operasi Paskau.
Pengalaman mengikuti program HBM 2024 telah membuka mata penulis bahawa bukan mudah berkhidmat sebagai angggota ATM kerana mereka perlu melalui latihan yang mencabar pada setiap masa.
Setiap latihan dan cabaran dilalui memerlukan komitmen, fokus dan kudrat bagi memastikan kesiapsiagaan pasukan berdepan dengan apa sahaja ancaman yang boleh menggugat kedaulatan negara.
Sementara itu, salah seorang wakil media, Mohd. Rafael Ramlan berkata, program HBM 2024 bukan sekadar memberi peluang kepadanya merasai pengalaman sebagai anggota tentera, sebaliknya memberi sudut pandang berbeza terhadap ATM.
“Menerusi program ini, kami dapat merasai sedikit ilmu ketenteraan seperti kemahiran menembak, survival hidup di dalam hutan dan pendakian Bukit Jugra yang sangat memenatkan.
“Pada kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak penganjur dan pengasuh-pengasuh kami yang telah menjayakan HBM 2024 dengan cukup baik,” ujarnya ketika ucapan wakil media pada Majlis Penutup HBM 2024 di Lapang Sasar Batu Hampar.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Menteri Petahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Panglima TUDM, Jeneral Tan Sri Mohd. Asghar Khan Goriman Khan.
Dalam ucapannya, Mohamed Khaled menghamburkan pujian kepada para wakil media yang terlibat dalam HBM 2024 kerana telah berjaya melakukan semua aktiviti dengan baik tanpa ada sebarang masalah.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat. Ini merupakan kali pertama kita mengadakan program berbeza bersama media. Dahulu kita buat secara biasa-biasa saja. InsyaAllah, konsep ini akan diteruskan pada masa depan.
“Biarpun saya difahamkan wakil media hanya melalui 10 peratus latihan ketenteraan, namun saya yakin ia sudah cukup untuk membolehkan anda (media) merasai pengalaman sebagai anggota ATM,” ujarnya.

Menurut Mohamed Khaled, menerusi program tersebut, pihaknya berharap ia dapat membantu pihak media menyebarkan peranan dan cabaran sebenar yang terpaksa dilalui oleh anggota tentera dalam menjaga kedaulatan negara kepada orang ramai.
Katanya, ia bagi menunjukkan bahawa di dalam negara ini ada satu kumpulan yang mempunyai komitmen, dedikasi, kesungguhan dan kesetiaan untuk berkorban demi tanah air tercinta.
“Atas sebab itulah, negara sewarjanya sentiasa menghargai dan mengucapkan terima kasih kepada kumpulan ini. Kita bersyukur, kerajaan terus memberi perhatian kepada sektor pertahanan negara.
“Saya gembira dalam ucapan Perdana Menteri semasa Bulan Keselamatan Negara baru-baru ini, beliau mengakui dalam masa aman, kita juga perlu memberi peruntukan besar kepada pertahanan kerana keamanan juga mempunyai harganya,” katanya.
Sebelum menutup bicara, Mohamed Khalid berharap HBM dapat menjadi platform untuk merapatkan lagi hubungan antara pihak media dengan Mindef iaitu sebuah kementerian yang terlibat dalam menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Ujarnya, peranan media cukup besar dalam usaha menyebar luas setiap agenda pertahanan negara sama ada dasar, program serta inisiatif yang telah dibuat oleh Mindef kepada masyarakat.
“Hampir satu tahun dalam Mindef, saya dapati pihak media telah berjaya memberikan liputan yang baik dan profesional kepada kementerian ini sama ada ketika aman, waktu biasa-biasa dan masa sukar,” ujarnya.














