PETALING JAYA – Syarikat pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau along semakin melampau apabila menggunakan wanita Melayu sebagai ‘perantara’ untuk meraih keyakinan pelanggan.
Wanita-wanita tempatan itu bukan sahaja seksi, malah ada juga yang berpakaian sopan termasuk bertudung.
Pemerhatian Kosmo! di TikTok mendapati, rata-rata ceti haram tersebut menawarkan pinjaman mudah dengan hanya menggunakan kad pengenalan sebagai syarat dan diluluskan dalam masa 10 minit.
Bukan itu sahaja, mereka yang tidak bekerja dan tiada slip gaji juga layak untuk memohon pinjaman tersebut.
Tinjauan turut mendapati, iklan pinjaman berkenaan meraih perhatian ramai dengan jumlah tawaran pinjaman serendah RM300.
Ada dalam kalangan peminjam memberikan alasan antaranya mahu menggunakan wang itu untuk melunaskan kos rawatan ahli keluarga dan membuat persiapan hari raya selain membeli susu anak.
Sementara itu, Pengurus Besar Operasi Pusat Pengajian Fardu Ain dan Al-Quran, Darul Muttaqim Seluruh Malaysia, Datuk Mohd. Zaki Zainol memberitahu, kebanyakan ceti haram memaklumkan syarikat mereka berlesen di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kalau dia (along) kata hanya memerlukan kad pengenalan sahaja untuk urusan pinjaman, memang sah itu along.
“Biasanya along akan menggunakan wanita-wanita Melayu yang berpakaian seksi dan mengatakan mereka bekerja dengan pemberi pinjaman wang berlesen di bawah KPKT.
“Itu (taktik) bohong. Mereka (along) hendak tarik pelanggan sahaja. Apabila mangsa sudah mula menyerahkan butiran peribadi mereka, baru along ini mula ‘buat kerja’ (tunjuk belang),” katanya kepada Kosmo! semalam.
Semalam Kosmo! melaporkan seorang remaja lelaki sanggup membuat pinjaman kepada along semata-mata hendak memenuhi kehendak teman wanita yang ingin memakan hidangan ikan siakap.
Remaja berusia 15 tahun berkenaan bertindak mencari iklan along melalui TikTok seterusnya membuat pinjaman yang pertama. Malangnya, dia gagal membuat bayaran semula sehingga terpaksa bertindak ‘gali lubang, tutup lubang’ dengan 12 ceti haram sehingga pinjamannya mencecah RM13,000.














