fbpx
PENJAGAAN ekosistem sungai membantu memperbaiki kekeruhan atau kualiti air sungai.

Sukarelawan ‘rawat’ sungai Kuala Lumpur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA daripada menonton video di TikTok yang dikongsikan pemilik akaun patricklee_msia, pemuda itu kemudian tertarik dengan satu aktiviti sukarelawan berkisar usaha memelihara sungai di Kuala Lumpur.

Memandangkan sudah lama tidak menyertai mana-mana program sukarelawan, dia kemudian mencuba untuk menyertai aktiviti berkenaan yang diadakan pada hujung minggu.

Menurut kakitangan swasta, Mohd. Sahil Abdullah, 35, pada awalnya dia menyangkakan program anjuran Alliance of River Three (ART) itu sekadar aktiviti mengutip sampah di dalam sungai, namun perspektifnya berubah selepas dia ‘turun padang.’

“Saya sudah lama tidak menyertai aktiviti sukarelawan dan mahu kembali aktif memandangkan di tempat kerja, pihak jabatan juga sarankan kakitangan sertai program alam sekitar sebagai salah satu aspek penilaian prestasi.

“Apabila melihat video inisiatif ART terhadap Sungai Klang di Kuala Lumpur, saya tertarik dengan usaha yang dilaksanakan mereka dan memutuskan untuk sertainya di mana ia telah membuka mata saya bahawa penjagaan sumber air di negara ini bukan sekadar mengutip sampah yang telah mencemarinya,” katanya ketika ditemu bual K2 di Taman Melawati River Three SDG Park, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Tambah lelaki asal Kelantan itu, apa yang membuka matanya bahawa usaha ART yang turut dikenali sebagai projek sukarelawan Friends of Sungai Klang itu melibatkan pelbagai aspek berkaitan penjagaan sungai bermula daripada memulihara, menjaga dan memastikan ekosistem serta persekitarannya serupa dengan keadaan asal.

Masalah pencemaran sungai bukanlah suatu yang baharu dalam landskap sumber air tawar di negara ini dan menjadi isu berpanjangan memandangkan mentaliti segelintir masyarakat masih di takuk lama serta menjadikannya tempat pembuangan sampah.

Malah, dengan penerokaan kawasan berdekatan sungai, ekosistem flora dan faunanya juga telah terganggu menyebabkan pelbagai kesan alam. Walhal, keseimbangan ekosistem ini begitu penting kerana ia dapat memastikan air sungai tidak menjadi keruh dan kualiti airnya baik.

Sehubungan dengan itu, pada 2018, sebuah usaha di bawah nama ART yang diasaskan oleh aktivis alam sekitar, Kennedy John Micheal telah dilaksanakan bagi menyelamatkan salah satu sumber air utama masyarakat di ibu kota iaitu Sungai Klang.

Membesar dan menetap di Taman Melawati sejak tahun 1978, inisiatif ini tercetus daripada saranan seorang kenalan yang mencadangkan Kennedy supaya melaksanakan satu usaha alam sekitar dalam komunitinya.

Memandangkan Taman Melawati berada di permulaan Sungai Klang dari empangan Klang Gate dan keadaan sungai di situ berdepan isu pencemaran dan pencerobohan, dia memulakan satu usaha sebagai langkah menangani masalah tersebut dari puncanya.

Menjelaskan usaha dilaksanakan, pengasas bersama ART, Syuen Toh, berkata, inisiatif mereka bukan sekadar mahu menyelamatkan sungai tetapi mengubah perspektif masyarakat tentang kepentingan air itu sendiri.

“Saya percaya semua orang maklum tentang pencemaran sungai dan juga antara usaha yang popular dilaksanakan adalah mengutip sampah di dalamnya, tetapi tidak ramai tahu bahawa itu bukan penyelesaian yang sebenar jika mahu menyelamatkan sumber air kita.

“Perspektif ini perlu diubah kerana jika kita melihat sampah sahaja sebagai punca ia tidak menyumbang manfaat kepada alam sekitar secara keseluruhan dan oleh sebab itu kami di ART mengambil langkah dari pelbagai aspek merangkumi kelestarian sungai, tindakan untuk Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), menangani perubahan iklim, pemulihan dan peningkatan ekosistem serta biodiversiti dan pembangunan komuniti serta infrastruktur,” ujarnya.

Tambahnya, apa yang menjadi keutamaan dalam usaha ini adalah semua pihak faham dengan menjaga sungai dan ekosistemnya, manusia boleh menjamin bukan sahaja sumber air bersih, tetapi keterjaminan dalam sumber alam, makanan, malah ekonomi negara dan setempat.

Kennedy (empat dari kiri), Syuen (tiga dari kiri) dan beberapa sukarelawan Friends of Sungai Klang bergambar di Taman Melawati River Three SDG Park.

Katanya lagi, ART yang turut melaksanakan inisiatif Friends Of Sungai Klang di Mid Valley River Three memulakan usaha dengan Gotong-Royong Pendidikan Secara

Tindakan (GREduAction) yang pertama pada 28 Julai 2018.

GREduAction juga menjadi titik permulaan kepada pelan 12 tahun ART yang mahu memulihara persekitaran di sepanjang Sungai Klang sejauh lima kilometer di Taman Melawati.

Sehingga kini, usaha itu telah mencapai kilometer pertama di Taman Melawati River Three yang menjadi contoh terbaik bagaimana pemuliharaan sungai dan keseimbangan ekosistemnya memberikan manfaat kepada manusia dan hidupan liar.

“Apa yang kami lakukan adalah merawat alam melalui taman sungai yang hampir menyerupai ekosistem sebenar di sekitar kawasan itu dan ini melibatkan penanaman spesies tumbuhan bersesuaian di kawasan persekitaran, penjagaan dan pembersihan,

“Kami mengembalikan ekosistem Sungai Klang antaranya dengan menanam pokok buluh yang lazimnya banyak tumbuh di persekitaran sungai di negara ini, selain menanam pokok merbau. Kami juga ‘mengemas’ kawasan tepi atau persekitaran sungai dengan membuang tumbuhan-tumbuhan invasif yang bukan dalam ekosistem sungai.

“Selain itu, kami juga membina infrastruktur bagi kemudahan awam.Usaha-usaha ini dilaksanakan menerusi kerjasama sukarelawan, organisasi korporat dan pelbagai pihak yang melihat visi serta misi kami sebagai langkah proaktif untuk membantu merealisasikan kepentingan sungai kepada masa hadapan,” kongsinya.

Jelasnya lagi, dengan beberapa aktiviti alam yang terjadi di sekitar kilometer pertama seperti wujudnya sarang lebah kelulut, kehadiran burung dan sebagainya memberi tanda bahawa rantaian ekosistem semakin seimbang dan kitaran kehidupannya kembali seperti sediakala.

Apabila impak ini berlaku, ia akan membawa kepada pemulihan susulan terhadap kesan alam seperti hakisan tanah, banjir, malah isu keterjaminan sumber jangka masa panjang.

Usaha yang dilaksanakan ART turut mendapat sokongan pihak Persatuan Penduduk Taman Melawati yang melihat inisiatif ini sebagai langkah wajar bagi menjaga ekosistem dalam komuniti.

Kata pengerusinya, Azhari Abd. Taharim, menerusi usaha tersebut ramai penduduk telah membuka mata bahawa penjagaan ekosistem dan kebersihan sungai adalah tanggungjawab bersama dan perlu dilakukan secara berterusan.

“Selama hari ini orang tidak sedar berdekatan penempatan mereka ada harta paling berharga iaitu sungai dan apabila ia tidak dijaga banyak kesan alam berlaku terutama banjir dan hakisan tanah.

“Kami sentiasa menyokong usaha alam sekitar dalam komuniti dan kini penduduk di Taman Melawati bukan hanya miliki kawasan sungai yang bersih tetapi mempunyai landskap alam semula jadi yang boleh dinikmati bersama-sama,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN