KUALA LUMPUR – Padah menendang seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, tiga wanita termasuk ibu kandung kanak-kanak itu dihukum penjara 14 hari dan dikenakan denda sebanyak RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap ibu mangsa yang berusia 20 tahun dan dua rakannya, Adibah Mohd Zaini, 35, serta Nor Azlin Fatin Najihah Lokman, 25, selepas mereka mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.
Mahkamah memerintahkan mereka bertiga menjalani hukuman penjara bermula hari ini. Mereka juga berdepan hukuman penjara enam bulan jika gagal membayar denda.
Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga wanita itu dikenakan bon berkelakuan baik selama lima tahun tanpa cagaran selain diperintah melaksanakan khidmat masyarakat selama 240 jam dalam tempoh enam bulan sebaik sahaja selesai menjalani hukuman.
Tiga tertuduh itu didakwa melakukan penganiayaan terhadap mangsa sehingga bleh mendatangkan kecederaan fizikal di sebuah pangsapuri di Taman Danau Desa di sini pada pukul 1.40 tengah hari, 23 Februari lalu.
Justeru pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara 20 tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Joshua Tee Yee Khuan memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara atas alasan perbuatan dilakukan tertuduh tidak berperikemanusiaan.
Bagaimanapun ketiga-tiga tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman berbentuk denda kerana perlu menjaga keluarga.
Mengikut fakta kes, pada 4 November alu, ibu mangsa membuat laporan polis berkenaan rakaman video menunjukkan anaknya ditendang oleh Adibah di hadapan pengadu dan Nor Azlin.
Selepas kejadian, mangsa dirujuk ke Hospital Kuala Lumpur dan pemeriksaan awal menunjukkan terdapat kesan kecederaan pada kening, perut, belakang badan, tangan dan kaki mangsa.
Hasil soal siasat mendapati ketiga-tiga tertuduh melakukan penganiayaan kepada mangsa dengan menendang kanak-kanak itu sehingga mengalami kecederaan fizikal. – KOSMO! ONLINE