PETALING JAYA – “Nak makan dalam bilik sejuk, caj RM1 pun kedekut nak bayar. Ingat owner (pemilik) pasang ‘aircond’ (pendingin hawa) bayar bil guna air liur?”.
Itu antara reaksi orang ramai berhubung perbalahan netizen mengenai tindakan sebuah restoran nasi lemak terkenal di Kampung Baru, di ibu negara yang mengenakan caj RM1 bagi bilik makan berhawa dingin.
Menerusi semakan Kosmo! di media sosial, terdapat sebahagian pengguna memihak kepada restoran terbabit dan berpendapat bahawa pemilik mempunyai hak untuk menentukan caj tambahan kepada pelanggannya.
“Pemilik ada kuasa untuk tentukan caj apa diperlukan, berapa harga jualan. Kita sebagai pengguna ini kena bijak dan nilai. Kalau rasa mampu dengan caj dan harga makanan dikenakan, silakan masuk ke restoran. Kalau rasa perlu berjimat, cari kedai lain.
“Tak ada pemilik tunggu depan restoran paksa orang lalu lalang masuk makan dalam restoran mereka. Jadi tiada isu perlu dikecohkan. Yang berniaga sahaja faham situasi dan kos perlu ditanggung demi keselesaan pelanggan,” kata Ayudaa.
Sementara itu, seorang pengguna X dikenali sebagai @minon3 menyelar tindakan sebahagian netizen yang mengecam tindakan pemilik restoran terbabit berhubung caj RM1 tersebut.
“Nak selesa bayar lebih. Sama konsep masuk hotel, nak bilik besar, ada tab mandi, harga mesti lebih RM200. Kau dapat ruang sejuk, ada ‘aircond’ bayar la lebih sedikit. Kalau tak caj tak adil kepada pelanggan lain yang duduk dekat luar tahan panas,” katanya.
Susulan daripada isu tersebut, pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) tampil membuat pemeriksaan di restoran terbabit.
Bagaimanapun, KPDNWPKL mengesahkan harga makanan, minuman serta caj perkhidmatan itu mematuhi dasar harga terangkum di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.
Menurutnya, pemerhatian anggota penguat kuasa juga mendapati notis caj RM1 itu dipamerkan dengan jelas di kawasan pintu masuk serta di cermin bilik berhawa dingin yang mudah dilihat oleh para pelanggan.
“Pekerja premis juga akan memberitahu terlebih dahulu kepada para pelanggan yang ingin masuk ke dalam bilik berhawa dingin berkenaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE