fbpx

Mohd. Dusuki dilantik sebagai Peguam Negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Dusuki

PETALING JAYA – Ketua Bahagian Perbicaraan dan Rayuan Jabatan Peguam Negara (AGC), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dilantik sebagai Peguam Negara berkuat kuasa esok.

Perlantikan beliau adalah bagi menggantikan Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh yang telah dilantik sebagai Hakim Mahkamah Persekutuan.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abi Bakar dalam kenyataan berkata, selaras dengan Fasal (1) Perkara 145 Perlembagaan Persekutuan, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan Mohd. Dusuki Mokhtar sebagai Peguam Negara yang baharu.

“Mohd. Dusuki dilahirkan di Machang, Kelantan, kini berusia 57 tahun dan berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Ijazah Sarjana Undang-Undang dari University of Wollongong, Australia.

“Beliau mempunyai pengalaman yang luas selama 31 tahun dalam perkhidmatan perundangan di Jabatan Peguam Negara,” katanya.

Dalam pada itu, Shamsul Azri berkata, kerajaan turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Ahmad Terrirudin atas perkhidmatan beliau selama memegang jawatan sebagai Peguam Negara.

Terdahulu, empat lagi nama pesaing utama disebut-sebut bakal dilantik mengetuai AGC adalah Peguamcara Negara (I), Datuk Suzana Atan, Peguamcara Negara (II), Datuk Umar Saifuddin Jaafar, Ketua Bahagian Pendakwaan, AGC, Datuk Masri Mohd. Daud dan Ketua Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI