PERASAAN bagai disiat-siat tatkala melihat video tular seekor harimau belang dirempuh lori. Lebih memilukan apabila video lain pula memaparkan karkas haiwan itu hancur hanya tinggal kepala dan sedikit bahagian kaki.
Harimau Malaya dewasa itu dirempuh kenderaan berat yang dalam perjalanan dari Gerik ke Jeli kira-kira pukul 5.30 pagi kelmarin di Kilometer 67.1, Jalan Raya Timur Barat berdekatan Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Titiwangsa.
Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Yusoff Shariff dipetik berkata, pihaknya gagal menentusahkan jantina harimau dewasa tersebut berikutan hanya kepala yang tersisa.
Pihak Perhilitan percaya haiwan itu datang dari hutan berhampiran sama ada Hutan Simpan Temenggor, Royal Belum atau Hutan Simpan Gerik.
Kejadian seumpama ini bukan kali pertama berlaku. Pada 9 November 2023, haiwan yang dilindungi ini mati dilanggar sebuah treler di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Hentian Sebelah Gua Tempurung di Gopeng.
Seekor harimau jantan dianggarkan berusia empat tahun seberat 130 kilogram dilaporkan mati akibat dilanggar kenderaan di Kilometer 50.8, Lebuh Raya Pantai Timur pada 16 Mei 2024.
Berdasarkan jangkaan Perhilitan Pahang, haiwan tersebut datang dari Hutan Simpan Bukit Tinggi, Bentong.
Pada 6 Julai 2024, seekor lagi harimau belang ‘tumpas’ selepas bangkainya ditemui di Kilometer 314, Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Tapah yang juga berpunca akibat dirempuh kenderaan.
Berdasarkan laporan dan hasil bancian Program 1st National Tiger Survey (NTS) dalam tempoh lima tahun setakat 2020 mendapati, populasi spesies tersebut kini berada di bawah 150 ekor.
Salah satu punca kemerosotan populasi Harimau Malaya adalah pembukaan hutan. Klise bukan?
Namun, kita tidak boleh menolak faktor dan hakikatnya adalah berpunca kerakusan tangan manusia sendiri. Habitat haiwan ini sedikit demi sedikit dirosakkan manusia. Sumber makanan terputus, haiwan ini terpaksa merayau sehingga ke penempatan penduduk, lebuh raya untuk terus hidup.
Memang itu kemalangan, namun apa yang dikesalkan setiap kali kejadian sebegini berlaku ada sahaja tangan-tangan nakal mencuri bahagian harimau. Kononnya mujarab sebagai tangkal dan azimat.
Pada 25 Februari 2024, Kosmo! ada mengeluarkan laporan khas tentang ketaasuban sebilangan individu yang percaya bahagian badan haiwan terancam ini mampu menjadikan pemakainya kebal.
Natijahnya, setiap bahagian haiwan seperti Harimau Malaya, gajah, malah babi hutan sudah mempunyai tanda harga. Harga sebatang gigi haiwan itu boleh mencecah RM100, sekali gus mengakibatkan haiwan terancam menjadi buruan.
Sudah kerap sangat kejadian sama berulang, ini bukan lagi tempoh untuk penguasa berlembut atau kempen-kempen memberi kesedaran kepada orang ramai. Populasi Harimau Malaya ini sudah kritikal.
Peruntukan undang-undang mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Akta A1646) sudah ada, ambil tindakan tegas. Tuduh pelaku di mahkamah, andai sabit kesalahan jatuhi hukuman denda maksimum RM1 juta serta penjara tidak melebihi 15 tahun. -KOSMO! ONLINE














