PETALING JAYA – Peminat bola sepak tanah air ‘hairan’ dengan beberapa keputusan pengadil yang gagal mengawal perlawanan dengan baik pada aksi Liga Super melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Perak FC semalam.
Pada aksi ‘panas’ di Stadium Sultan Ibrahim itu, bintang sensasi JDT, Arif Aiman Hanapi dikatakan bernasib baik apabila terlepas layangan kad merah selepas didakwa menumbuk pemain Perak FC, Tommy Mawat Bada.
Insiden yang tercetus pada minit ke-83 itu menyaksikan Tommy mengasari Arif Aiman dan situasi itu mencetuskan pergaduhan antara kedua-dua pemain sebelum dileraikan oleh rakan sepasukan dan pengadil, Razlan Joffri Ali.
Susulan pergaduhan itu, Razlan hanya melayangkan kad kuning kepada Arif sehingga mencetuskan perdebatan dalam kalangan peminat di laman sosial ketika ini.
“Mula dah syndrome star ni. Agak kecewa tindakan arif aiman.
“Apapun ref apa jadahnya tak layang kad merah, terang2 tu depan muka ref lak tu. Var pun ada,” kata @hxkimafiq dilaman X.
“Dan arif aiman patot kena send off sebab dia tumbok orang tak kira siapa start dulu,” kata @thealanto.
“Jelas referee takut nak ambil tindakan kepada arif aiman yg menumbuk pemain lawan. Mohon ambil pengadil dari jepun untuk adili game MFL lah,” kata @Peaceworld9111.
Sebagai rekod, penyerang JDT, Bergson da Silva pernah dilayangkan kad merah kerana menumbuk kepala pertahanan Kedah, Rodney Calvin pada tahun 2022.
Selain itu, Razlan turut membuat keputusan kontroversi apabila tidak menghadiahkan Perak sepakan penalti pada minit ke-37 selepas Clayton Silveira dikasari oleh pemain JDT, Feroz Baharudin meskipun semakan video bantuan pengadil (VAR) telah dibuat.
Skuad Harimau Selatan tidak mempunyai masalah untuk meraih kemenangan 5-0 pada aksi tersebut sekali gus mengukuhkan kedudukan pendahulu Liga Super.