PETALING JAYA – “Orang cakap Perlis lapan orang saja, tapi beratur sesak nak interviu kerja,” itu antara reaksi penduduk Perlis susulan temu duga terbuka kerja sebuah kilang barangan elektronik yang dihadiri ribuan anak tempatan.
Berdasarkan video-video yang tular di TikTok, temu duga pengambilan kerja itu diadakan di Dewan Warisan Kangar pada Sabtu lalu sekali gus diserbu orang ramai dalam kalangan anak tempatan.
Difahamkan, ada yang datang seawal pukul 5 pagi semata-mata mahu mendapatkan nombor giliran untuk temu duga bagi pelbagai jawatan di kilang tersebut.
Dikatakan kilang barangan elektronik itu bakal beroperasi di Chuping, Perlis pada tahun depan dan mereka yang berjaya akan mengikuti latihan di cawangan kilang di Pulau Pinang terlebih dahulu.
Susulan kehadiran ribuan anak-anak Perlis, orang ramai berseloroh dengan jumlah penduduk di negeri tersebut, lebih-lebih lagi kenyataan ‘Perlis lapan orang sahaja’ sering dijadikan lawak jenaka dalam kalangan masyarakat negara ini.
“Keluar habis semua, kata ada lapan orang saja (di Perlis),” komen ciro_imobil.
“Cepat-cepat interviu kerja, siapa cakap Perlis lapan orang ja,” kata pengguna TikTok Azizah yang turut menghadiri temu duga itu.
“Laaa kata Perlis lapan orang ja, ni ramai-ramai mana mai (datang),” kata Ezati Nazuha98.
Selain anak tempatan, temu duga kilang tersebut turut dihadiri oleh mereka yang datang dari Kedah. – KOSMO! ONLINE