fbpx

JDT kekal ‘Top 5’ benua Asia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JDT muncul kelab kelima terbaik Asia di belakang Al-Hilal, Al-Nassr, Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe. - RAJA JAAFAR ALI

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) terus ‘mengganas’ di peringkat antarabangsa terutama di pentas Asia apabila kekal muncul kelab kelima terbaik di benua ini sekali gus mengatasi beberapa pasukan ternama dari Jepun dan Korea Selatan.

Kejayaan itu turut menyaksikan pendahulu Liga Super dan juara Piala FA 2024 itu kekal berada dalam kelompok 10 kelab elit Asia dengan kedudukan pertama masih lagi menjadi milik gergasi Liga Pro Arab Saudi, Al Hilal.

Menerusi kemas kini data dikeluarkan laman Opta Power Ranking kelmarin, skuad Harimau Selatan itu boleh mendabik dada apabila meraih kedudukan kelima dengan mengutip 80.6 mata.

Berdasarkan ranking dunia, JDT kini berada di tangga ke-218, mengatasi beberapa kelab antarabangsa seperti Spartak Moscow dari Russia, New York Red Bull (Amerika Syarikat), Young Boys (Switzerland) dan Saint-Ettiene (Perancis).

Laman analisis Opta Power Ranking itu menyenaraikan hampir 13,500 kedudukan kelab bola sepak di seluruh dunia.

Buat masa ini, tiada kelab lain dari Malaysia berada dalam senarai ‘top’ 1,000 dunia dengan pasukan paling hampir adalah Selangor FC di kedudukan ke-1,085 dunia.

Satu lagi gergasi Liga Pro Arab Saudi, Al Nassr yang diwakili Cristiano Ronaldo berada di kedudukan kedua terbaik Asia, manakala dua kelab Jepun, Sanfrecce Hiroshima dan Vissel Kobe melengkapkan kedudukan ‘Top 5’.

Kelab terbaik dunia ketika ini secara statistik kekal menjadi milik Manchester City diikuti Liverpool di kedudukan kedua dan Inter Milan di tempat ketiga.

Sebagai rekod, skuad Harimau Selatan masih segar dengan kejayaan menewaskan juara Liga Korea Selatan, Ulsan HD 3-0 dalam aksi Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) pada Rabu lepas.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI