PETALING JAYA – Hubungan Malaysia dan Mesir berjaya dipertingkatkan ke tahap perkongsian strategik yang lebih hebat dalam tempoh terdekat.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia hasil pertemuan beliau dan Presiden Mesir, Abdel Fattah El-Sisi di negara tersebut hari ini.
“Sewaktu pertemuan dengan Presiden Mesir, hubungan dua hala berjaya dipertingkatkan ke tahap perkongsian strategik yang lebih hebat pada waktu terdekat.
“Kami senada untuk memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang demi kepentingan dan manfaat bersama,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.
Anwar berkata, antara bidang tersebut adalah perdagangan dan pelaburan, pendidikan tinggi, hal ehwal budaya, pertahanan dan keselamatan, agro-komoditi serta pelancongan. – KOSMO! ONLINE