KOTA BHARU – Segelintir golongan asnaf dan miskin di Kelantan didapati turut terjebak dalam penyalahgunaan dadah apabila menggunakan wang yang ada untuk membeli pil kuda kononnya untuk menenangkan diri daripada masalah.
Sudahlah menghisap dadah, tangan pula ringan mendera, memukul dan membelasah isteri serta anak-anak sekiranya tidak dapat menahan ketagihan.
Masalah kewangan dan gagal menguruskan hidup dengan baik selain memaksa isteri bekerja untuk mendapatkan wang membeli dadah menjadi punca mereka terus hanyut.
Pengerusi sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Volunteer I Care (VIC), Muhammad Afiq Aiman Shukri berkata, dia melihat keadaan itu sepanjang tujuh tahun terlibat dengan kerja amal membantu asnaf di Kelantan.
Katanya, terdapat segelintir ketua keluarga golongan asnaf dan miskin yang ketagih di negeri ini gagal menjalankan tanggungjawab kerana duit habis digunakan untuk membeli pil kuda.
“Sebagai NGO, kami dapat melihat keretakan sesebuah keluarga itu yang berpunca daripada dadah meskipun mereka tidak memaklumkan secara terperinci masalah yang dihadapi.
“Jalan mudah ialah telan pil kuda dengan alasan untuk bertenang daripada masalah hidup. Dengan RM10 sebiji, mereka percaya dadah itu akan membantu melupakan masalah tetapi lain pula yang jadi apabila mula ketagih,” katanya kepada Kosmo!.
Menurut Muhammad Afiq, ketagihan itu akan mengakibatkan si suami bertindak di luar kawalan sehingga tergamak mendera anak-anak dan isteri.
Tambahnya, ada juga yang memaksa isteri bekerja untuk membantunya membeli pil kuda kerana dia sendiri sudah malas bekerja.
“Pemerhatian mendapati ketagihan pil kuda dalam kalangan suami golongan asnaf itu akan menyebabkan tekanan kepada isteri dan anak-anak,” katanya.
Ujar Muhammad Afiq, keadaan itu membuatkan anak-anak yang masih bersekolah tidak dapat fokus dalam pelajaran sebelum mula terlibat dengan masalah sosial atau mungkin mula terjebak dengan pil kuda.
“Kebiasaannya, golongan asnaf yang terlibat dadah akan memencilkan diri mereka di rumah dan tidak bergaul dengan masyarakat. Penduduk kampung juga tidak mahu bergaul dengan mereka,” katanya.
Menurut Muhammad Afiq, masalah asnaf ketagih pil kuda bukan perkara baharu di Kelantan dan mereka cuba mengelak daripada memberi bantuan kewangan secara terus kerana khuatir akan disalah guna.
“Jika dia perlu barang makanan dan keperluan kita yang akan belikan atau perlu bantuan ke sekolah, kita akan terus salurkan kepada pihak sekolah untuk uruskannya,” katanya.
Muhammad Afiq berkata, hal-ehwal membantu golongan asnaf yang terjebak dadah bukan urusan pihaknya kerana penghulu dan penduduk kampung perlu memainkan peranan untuk melaporkan perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).
Sehubungan itu, beliau berharap agensi-agensi kerajaan terutamanya AADK lebih banyak mengadakan kempen kesedaran mengenai bahaya pil kuda kepada golongan asnaf.
“Saya percaya, meskipun golongan asnaf dapat keluar daripada kepompong kemiskinan, mereka tetap akan terjebak semula dengan dadah kerana kesedaran mengenai kesalahan mengambil dadah itu sangat nipis,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE














