TEGURAN demi teguran yang diberikan oleh para pemimpin negara mengenai kepentingan bahasa Melayu wajar dilihat sebagai suatu yang membimbangkan.
Manakan tidak, bahasa Melayu kini dilihat sebagai bahasa ‘orang kebanyakan’ manakala ada dalam kalangan rakyat kelas ‘kayangan’ memandang remeh penggunaannya dalam kehidupan seharian.
Bahasa Melayu bagi segelintir individu ataupun kelompok masyarakat bagaikan suatu yang harus dihindari kerana begitu memalukan sekiranya dituturkan.
Situasi itu turut mendapat reaksi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 (BBK 2024) di Ipoh awal bulan lalu.
Pada majlis itu, Anwar menegur segelintir kelompok elit yang taasub menggunakan bahasa Inggeris sehingga meremehkan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.
Bahkan, beliau juga hairan dengan keghairahan kelompok itu yang menganggap kejayaan dan kepintaran hanya boleh dicapai dengan penguasaan bahasa Inggeris.
“Saya tidak mewakili pendapat yang mahu mengurangkan (penguasaan) bahasa Inggeris tetapi saya juga tidak mewakili sikap yang mempunyai fobia terhadap bahasa sendiri.
“Mereka mungkin dibesarkan di London, tetapi saya ingatkan, hidup mereka di Malaysia, mesti mewakili aspirasi rakyat Malaysia secara keseluruhannya,” katanya.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong pula berkata, isu itu juga pernah disentuh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub.
Menurutnya, ketika merasmikan Simposium Antarabangsa Aspirasi Bahasa Melayu Ke-3, Ismail Sabri antara lain mengecam kebanyakan pemaju yang lebih gemar menggunakan bahasa asing dan bukannya bahasa Melayu dalam menamakan projek mereka.
Kos Seong berkata, pada 26 Februari lalu semasa Istiadat Pembukaan Penggal Ketiga Parlimen Malaysia ke-15, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah bertitah bahawa walaupun negara ini telah lama ditubuhkan, masih terdapat generasi yang tidak menguasai bahasa Melayu sebagai bahasa negara.
“Sudah tentu hal ini amat tidak baik untuk citra negara, selain ia sangat mengesani perwatakan nasional melalui bahasa Melayu yang mahu ditonjolkan dengan adanya ciri negatif sebegini dalam kalangan rakyat.
“Sebenarnya gejala tidak bangga, sayang, apatah lagi setia kepada bahasa Melayu dalam kapasitinya sebagai bahasa negara, bukan sahaja sudah lama wujud, juga tidak pernah ditangani dengan baik lagi serius,” katanya.
Justeru, beliau berkata, sudah tiba masanya kerajaan semasa mengambil tanggungjawab ini sebagai sesuatu yang amat mendesak lagi kritikal.
“Ini kerana bahasa Melayu walaupun merupakan bahasa negara, ibarat melukut di tepi gantang di tanah watannya sendiri,” katanya.
Justeru kata beliau, kerajaan hendaklah antaranya menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa negara untuk menggemblengkan seluruh rakyat dalam setiap ranah kenegaraan. -KOSMO! ONLINE














