ALOR SETAR – Semakin ramai individu cenderung berkongsi hal rumah tangga di media sosial termasuk aib pasangan masing-masing yang akhirnya boleh menjadi punca hubungan menjadi rapuh seterusnya mengundang perceraian.
Menurut Pengarah Urusan dan Pakar Psikologi CPC International, Dr. Noor Aishah Rosli, berdasarkan pemerhatiannya, orang ramai terutama golongan muda tidak lagi segan silu menceritakan segala-galanya tentang hubungan suami isteri di media sosial.
“Memang wujud budaya berkongsi secara berlebih-lebihan di media sosial terutama melibatkan pasangan suami isteri.
“Golongan itu merasakan perkongsian tentang hal rumah tangga menjadi satu kemestian untuk dilakukan,” katanya.
Menurutnya, apa yang membimbangkan apabila fenomena itu dilihat semakin rancak dan seakan-akan dinormalisasikan dalam kehidupan masyarakat.
“Mereka bagaikan sudah hilang perasaan malu dan boleh saya katakan mereka ini muka tebal.
“Ini kerana mereka tahu hal-hal rumah tangga seperti momen romantis, merajuk, bergaduh dan aib pasangan mampu meraih perhatian netizen. Jadi mereka sanggup kongsi apa sahaja untuk dapatkan perhatian dan banyak ‘like’,” ujarnya.

Jelasnya, selain mahu meraih perhatian, golongan itu juga berbuat demikian untuk mendapatkan kepuasan diri, selain media sosial tempat untuk melepaskan kemarahan sekiranya rumah tangga bergolak.
“Ada pasangan bila kita tengok di media sosial nampak sangat bahagia, namun sebenarnya bermasalah. Ia termasuklah pasangan yang juga pempengaruh, saya percaya ada yang berpura-pura demi konten untuk jana pendapatan,” jelasnya.
Menurutnya, perkongsian secara berlebihan di media sosial mampu membuatkan hubungan suami isteri retak seterusnya berakhir penceraian.
“Salah satu kes dikendalikannya membabitkan seorang wanita yang terlalu ekstrovert dan sentiasa berkongsi tentang kehidupannya di media sosial menyebabkan suami kurang selesa sehingga kerap bergaduh.
“Bila berlaku konflik rumah tangga, si isteri menyindir suami dan bercerita aib suami di media sosial yang mana perkara itu menyebabkan hubungan menjadi lebih teruk dan boleh berakhir dengan perceraian,” jelasnya.
Selain itu, menurutnya, mereka yang gila konten juga cenderung diserang anxiety apabila sentiasa berasa risau sekiranya terlepas untuk berkongsi sesuatu di media sosial, dihentam netizen atau risau perkongsian kurang mendapat perhatian.
“Kita tidak mahu hanya disebabkan isu perkongsian di media sosial ini, kelak menjadi penyumbang utama perceraian di negara ini. Saya lihat ramai pasangan muda dengan usia perkahwinan kurang tujuh tahun sudah bercerai,” katanya.














