Setiap kali kita gagal membeli minyak masak peket, apa yang kita harus ingat ialah ini kerja penyeludup.
Apa tidaknya, kerana petualang negara itulah stok tersebut tinggal sedikit di negara ini. Mereka lebih mengejar untung untuk menjualnya pada harga lebih mahal di negara jiran.
Pergilah ke kedai runcit, pasar mini, pasar raya besar atau Jualan Rahmah sekalipun. Semuanya bercatu dengan setiap orang boleh membeli dua peket sahaja. Tidak macam dahulu kita boleh beli sampai sedozen.
Kelmarin, satu kontena minyak masak gagal diseludup ke Thailand apabila lori yang membawa produk tersebut terbabas di pangkalan haram Ayam, Kampung Terusan di Rantau Panjang, Kelantan.
Apabila diperiksa, dalam kontena itu terdapat ratusan kotak mengandungi 18,700 peket minyak masak bernilai RM46,750, manakala lori itu pula berharga RM160,000.
Dari sini kita tahu bahawa penyeludup itu merupakan sindiket mewah kerana dengan selamba meninggalkan barangan tersebut tanpa sebarang sesalan. Mungkin sindiket sudah lama melakukan kerja haram berkenaan dan mengaut laba yang besar.
Ironinya, operasi demi operasi dijalankan, namun petualang negara itu masih boleh lolos. Segala subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan dijadikan peluang oleh mereka bagi mengaut keuntungan berlipat kali ganda. Kerja bertambah mudah apabila tinggal berdekatan sempadan.
Sejumlah 172 pangkalan haram di sepanjang Sungai Golok memungkinkan mereka ini terlepas daripada pandangan anggota penguat kuasa. Bukan mudah untuk dikekang kerana ada antaranya sudah berpuluh tahun terlibat dengan aktiviti penyeludupan.
Bagi sesetengah kes, pekerjaan haram itu diwariskan pula kepada anak cucu. Kerja mudah tetapi pendapatan lumayan sudah tentu membuatkan sesiapa sahaja gelap mata. Risiko ditangkap tolak tepi asalkan boleh mengaut untung cepat.
Ketika sedang rancak menyeludup, golongan B40 di tengah bandar bergelut untuk mendapatkan stok. Pengguna dimomokkan oleh tauke kedai runcit yang mereka hanya mendapat dua kotak daripada pembekal setiap hari.
Jualan perlu dicatu supaya lebih ramai yang boleh mendapatkannya. Bercerita mengenai kes penyeludup, penulis teringat satu kes yang menjadi tular tidak lama dahulu.
Ceritanya Pak Abu sering menunggang motosikal dengan membawa pasir di sempadan Malaysia-Thailand.
Apabila diperiksa, tiada pula barangan salah yang dibawanya sehingga penguat kuasa menjadi musykil kerana Pak Abu merentas sempadan hampir setiap hari tanpa gagal selama bertahun-tahun sebelum dia ‘pencen’.
Suatu hari, penguat kuasa yang ingin tahu apa yang sebenarnya dilakukan oleh Pak Abu telah mengajaknya untuk berbual sambil menikmati sarapan pagi di sebuah gerai berdekatan.
“Apa yang Pak Abu seludup selama ini? Kami periksa pasir yang dibawa haram tidak jumpa apa-apa barangan yang disembunyikan.
“Aku bukan seludup pasir tetapi motosikal,” kata Pak Abu sambil menghembuskan asap rokok daun yang dihisapnya sebelum berderai gelak tawa orang tua itu bersama penguat kuasa tersebut.














